MALAYSIAKINI
Paras air Empangan Gemencheh kini berada pada tahap kritikal apabila
turun kepada 93.85 meter, sedangkan paras kritikal 95 meter dan paras
minimum 86 meter.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan
negeri telah melaksanakan pelan jangka pendek antaranya membeli air
terawat daripada Syarikat Air Melaka Bhd bagi mengatasi krisis air ini.
"Empangan lain di negeri ini berada pada paras yang baik. Hanya Empangan
Gemencheh sahaja yang terjejas kerana empangan tersebut tidak menerima
air yang secukupnya untuk dirawat," katanya kepada media semalam selepas
menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) juga telah melaksanakan pelan
jangkapendek iaitu membuat catuan air berjadual kepada penduduk di
sekitar Tampin dan Rembau bermula hujung tahun lepas.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh SAINS, Empangan Sg Terip
mencatatkan jumlah takungan sebanyak 100.98 meter, Kelinchi 201.68
meter, Talang (Ulu Muar) 145.65 meter, Sg Beringin 135 meter, Ulu Sepri
135 meter dan Teriang 182.15 meter.
Sementara itu, di Kedah, paras air di tiga empangan utama
yangmenyalurkan air untuk kegunaan domestik di Kedah berada pada tahap
normal walaupun berlaku musim kering sejak Disember hingga penghujung
Mac ini.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan kepada
Bernama berkata paras air Empangan Pedu setakat ini berada pada 95.25
meter, Empangan Muda pada tahap 99.04 meter dan Empangan Ahning 108.90
meter.
Katanya purata hujan yang turun di kawasan tadahan di ketiga-tiga
empangan itu pada Jan sebanyak 38.33mm dan sehingga 24 Februari lepas
pula ialah sebanyak 89.05mm.
Beliau berkata, sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan sehingga akhir
Mac ini, empangan Pedu dianggar mempunyai takungan air sebanyak 938 juta
meter padu dan mencukupi untuk keperluan domestik dan industri.
"Air di empangan Pedu juga cukup untuk musim penanaman padi bagi musim
1/2015 yang dijadual bermula pada penghujung Mac tahun ini," menurut
kenyataan itu.
Sementara itu, anggota Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air
dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrol Hisham
Hashim mengingatkan semua masyarakat supaya berjimat cermat dalam
menggunakan air walaupun negeri mempunyai bekalan air yang mencukupi
dalam tempoh lima bulan lagi.
Katanya, dengan takungan air sedia ada kerajaan negeri tidak bercadangmengenakan catuan air.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan