KUALA LUMPUR - [KEMASKINI] Tidak sedikit pun berkurangan rasa rindu terhadap anak perempuan tunggalnya, Norli Akmar Hamid, walaupun sudah setahun hilang tanpa khabar berita bersama-sama pesawat MH370.
Sarah Mohd Noh, 56, masih mengharapkan kepulangan anak dan menantunya kerana tiada sebarang bukti sahih berhubung apa sebenarnya yang berlaku atas insiden kehilangan pesawat MAS itu.
Norli, yang mesra dengan panggilan Kak Long dalam kalangan anggota keluarga, dan suaminya, Mohd Razahan Zamani, merupakan dua daripada penumpang dan anak kapal yang tidak diketahui nasib mereka.
“Mak cik masih mengharapkan kepulangan mereka. Bila rindu, baju Kak Long mak cik cium. Doa kami sekeluarga tak pernah putus.
“Sudah tiga kali mak cik mimpi Kak Long balik. Jadi bertambah rindu. Sudah setahun mereka hilang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo.
Pada 29 Januari, Kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat itu dianggap terkorban.
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari pesawat itu tetap menjadi keutamaan.
Sarah mengakui masih keliru dengan apa sebenarnya yang berlaku dengan pesawat berkenaan kerana tiada ada satu bukti pun yang menunjukkan ia terhempas.
Bagaimanapun, ibu kepada empat orang anak ini tetap reda dan tidak mahu terlalu berharap.
“Jika benar masih hidup, harap mereka dalam keadaan selamat. Jika tidak pun, harap ada petanda apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Ditanya mengenai sampel DNA yang diambil bagi tujuan siasatan baru-baru ini, Sarah memberitahu ada pegawai polis telah berjumpa dengan suaminya, Hamid Ramlan, 57, untuk tujuan itu.
“Kerana hormat dengan pegawai atasan, pak cik (suami) beri kerjasama. Namun jika mereka datang ke rumah dan mahu ambil sampel mak cik, mak cik tidak mahu kerana tujuannya tidak jelas disebabkan tiada sebarang perkembangan yang meyakinkan,” katanya.
Pasangan Norli dan Razahan yang berkahwin pada Oktober 2012 pergi ke Beijing, menaiki MH370 setelah beberapa kali menangguhkan rancangan berbulan madu mereka.
Penerbangan pada awal pagi 8 Mac tahun lalu itu juga merupakan pengalaman pertama Norli menaiki kapal terbang dan ke luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan