MARANG: PAS memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri hal-hal
agama Islam yang menjadi teras perjuangan PAS, demikian yang ditegaskan
oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ujar Abdul Hadi, DAP tidak boleh menyekat usaha yang wajib dilakukan
oleh PAS dalam menegakkan syiar Islam apatah lagi dengan kerjasama
pakatan pembangkang sejak awal lagi tidak melibatkan dasar parti
masing-masing.
“Jadi, ia tidak melibatkan (perkara) halal dan haram bagi orang Islam.
Itu yang wajib. Sebab itu kita tak sentuh pun tentang perkara dalam
agama mereka kerana itu hak mereka. Justeru, mereka juga tidak perlu
menyentuh hal-hal dalam agama kita sendiri.
“Lagi pun, Perlembagaan sendiri memberi ruang dalam hal ini. Islam
adalah agama Persekutuan. Agama lain bebas. Kalau agama lain bebas,
mengapa Islam tidak ‘bebas’?” soal Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ijtima’
Antarabangsa Perpaduan Ummah di sini semalam yang turut disertai
perwakilan dari 41 buah negara.
Yang hadir sama, Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din; Timbalan
Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man dan Salahudin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali dan
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Abdul Hadi berkata, sebarang
kenyataan tidak bersetuju mengenai sesuatu perkara atau usul merupakan
soal biasa dalam mana-mana parti khususnya yang melibatkan pakatan.
DAP menentang keras langkah Pas untuk melaksanakan Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan oleh Dewan
Undangan Negeri Kelantan secara sebulat suara melibatkan 31 Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas, 12 ADUN Barisan Nasional dan
seorang ADUN PKR.
Sehubungan itu, DAP yang begitu kecewa kerana desakan parti itu tidak
diendahkan PAS, dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergemparnya Khamis
ini untuk memutuskan pendirian mereka dalam soal pelaksanaan hudud dan
masa depan pakatan pembangkang.
Isu terbaharu ini memburukkan lagi konflik dalaman Pas dan juga
sengketa dengan parti-parti sekutu menyebabkan banyak pihak membayangkan
pakatan ini semakin menghampiri ambang perpecahan apabila Pas tidak
lagi mahu dilihat sentiasa tunduk sehingga mengorbankan prinsip
perjuangannya.
Abdul Hadi menyifatkan penentangan ini tidak sepatutnya terus
berbangkit kerana persoalan hudud adalah isu lama dan proses
perjalanannya dilakukan secara demokratik.
Bahkan, jelas beliau, Pas pernah membawa usul persendirian berhubung hudud di Parlimen pada tahun 1996 dan 1997.
Diminta mengulas pendirian DAP, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut
sambil menyatakan untuk ‘tunggu dan lihat’ apa yang bakal berlaku kelak.
“Saya tidak boleh jawab soalan anda. Saya tidak tahu apa akan terjadi.
Nanti dah berlaku (DAP keluar Pakatan), baru boleh jawab. Kena lihat
dulu (tunggu keputusan mesyuarat DAP berhubung hala tuju parti itu)...
belum berlaku lagi sekarang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan