BATU CAVES: Pakatan Rakyat tidak akan berpecah walaupun terdapat
ura-ura DAP akan menarik diri daripada bekerjasama dengan PAS sekali
lagi selepas kecewa terhadap parti Islam itu yang melanggar perjanjian
konsensus pakatan berhubung hudud.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, PKR akan
mencari jalan untuk memastikan DAP tidak akan keluar dari pakatan
pmmbangkang.
"Keputusan itu tidak timbul (untuk berpecah), Pakatan sudah ada
perbincangan. Hasrat kita pakatan perlu dipertahankan namun ia perlu
dipegang kepada prinsip bersama yang telah dipersetujui dan kekuatan PR
berdasarkan program mengutamakan kebajikan rakyat dari segi pendidikan,
keselamatan dan muafakat.
"Atas prinsip kemuafakatan ini rakyat terus bergerak dan saya berharap
PKR, DAP dan PAS terus pegang pada prinsip ini," katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas potensi DAP memutuskan segala kerjasama dengan PAS dan
ia menjadi alasan kuat parti yang didominasi kaum Cina itu meninggalkan
pakatan pembangkang selepas hudud diluluskan di sidang DUN Kelantan
kelmarin.
DAP pernah meninggalkan Barisan Alternatif (BA) ekoran matlamat PAS yang mahu menubuhkan negara Islam pada tahun 2001.
Spekulasi menyatakan DAP akan mengambil tindakan yang sama bertambah
kecang selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu parti itu
akan mengadakan mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif pusat (CEC)
pada Isnin ini berhubung pendiriannya mengenai hudud.
Guan Eng selain itu turut menegaskan bukan sekadar undang-undang hudud,
yang dari segi prinsip dan dasarnya memang dibantahi DAP, tetapi juga
menyentuh soal janji, ketelusan serta kejujuran yang sebelum ini pernah
dilafazkan oleh pimpinan PAS di peringkat nasional berdasarkan
perjanjian konsensus pakatan rakyat.
Dalam perkembangan sama, Azmin meminta supaya PAS tidak mencabar DAP
ekoran rakan komponennya itu tetap bertegas tidak mahu hudud
dilaksanakan di Kelantan.
"Perkara ini tidak boleh ada cabar mencabar. Kalau ikut dasar semangat
pakatan rakyat, kita sentiasa berbincang. Saya percaya, atas dasar ini,
banyak isu sensitif berjaya diselesaikan," katanya.
Terbaru, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada
DAP untuk tidak mencampuri hal-hal agama Islam yang menjadi teras
perjuangan parti Islam itu.
Tegas Abdul Hadi, DAP tidak boleh menyekat usaha yang wajib dilakukan
oleh PAS dalam menegakkan syiar Islam apatah lagi dengan kerjasama
pakatan pembangkang sejak awal lagi tidak melibatkan dasar parti
masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan