[ULASAN] Secara
ringkas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP
malam Selasa lalu ialah parti itu tidak mengiktiraf Datuk Seri Haji
Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS, tetapi masih mahu kekal dalam
Pakatan Rakyat.
Memang keputusan itu agak 'janggal dan pelik' kerana pada satu sisi
DAP mahu kerjasama dan manfaatkan kekuatan pengaruh politik PAS
membantunya mencapai cita-cita memerintah Malaysia, tetapi di sisi lain
tidak mahu bekerjasama Hadi.
Keputusan mesyuarat empat jam itu nampaknya boleh dibaca sarat dengan
hemah, strategi dan helah politik. Mungkin DAP berasa ia perlu memberi
'tekanan dan isyarat jelas' kepada rakyat amnya dan ahli-ahli PAS
khususnya, presiden mereka tidak layak masuk dalam jemaah Pakatan
Rakyat.
Setelah membuat keputusan itu, CEC parti itu mengatur mesyuarat khas
dengan PKR untuk memperjelaskan pendirian dan strategi DAP mahu
memutuskan hubungan dengan presiden PAS tapi masih mahu bekerjasama
dengan ahli dan jentera politik PAS.
Namun yang agak menggusarkan ialah bait-bait kata yang digunakan oleh
pemimpin DAP itu untuk menjustifikasikan pendirian partinya terhadap
Hadi yang hampir pasti 'melukakan hati' dan maruah diri sesiapa jua di
kerusi Hadi.
Tidak tahulah bagaimana dan sedalam mana kenyataan yang dihamburkan
Guan Eng ini akan mengusik sentimen dan wala’ ahli-ahli PAS terhadap
presiden mereka sejak 13 tahun lalu itu. Antara lain kenyataan Gua Eng
berbunyi:
"DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang
yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.
"DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin
Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama
dengan beliau.
"Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk
memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.
"DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan."
Yang pasti tentu ramai pemimpin dan penyokong PAS akan tersinggung
betapa imam mereka dikatakan tidak jujur dan tidak bermaruah hanya
kerana beliau (Hadi) mahu membentangkan Rang Undang undang Hudud
Kelantan di parlimen.
Bolehkah pengikut-pengikut PAS (dan Hadi) menerima rumusan DAP bahawa
oleh kerana mahu mencapai impian politik PAS melaksanakan hukuman yang
disyariatkan Allah maka Hadi dilabel DAP sebagai tidak bermaruah?
Adakah DAP berkira bahawa ahli-ahli PAS akan tertunduk malu kerana berimamkan seorang pemimpin yang tidak jujur?
Atau, adakah DAP sebenarnya cuma mahu mencabar golongan dalam PAS yang
memang semakin terbuka menyatakan bahawa mereka tidak selesa dengan
cara kepimpinan Hadi supaya melakukan sesuatu dan meminggirkan Hadi
daripada kepimpinan PAS?
Mungkinkah dalam congakan DAP kumpulan yang digelar Erdogan dalam
pimpinan PAS sudah bersedia untuk menjadikan cercaan DAP terhadap
presiden PAS sebagai hujah kempen mengapa mereka wajib menolak Hadi?
Bolehkah disimpulkan bahawa pendirian DAP itu sebenarnya kata dua
kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong PAS bahawa jika mereka menyokong
Hadi, bererti mereka juga 'tidak jujur dan tidak bermaruah'?
Hadi musuh utama Pakatan?
Sebaliknya, mungkinkah mesej tersirat di sebalik pendirian DAP itu
ialah, jika mereka 'menggugurkan' Hadi daripada saf kepimpinan PAS Jun
nanti, mereka dapat saham untuk memerintah Malaysia bersama DAP dan PKR
selepas pilihanraya umum ke-14 kelak?
Kecenderungan DAP untuk mengambil langkah 'memburukkan personaliti
Hadi' ini sudah diisyaratkan oleh seorang daripada dua ahli parlimen
Islam dalam DAP iaitu Zairul Khir Johari sehari sebelum itu.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu membayangkan bahawa
Pakatan Rakyat tiada masa depan selagi Hadi menjadi Presiden PAS
sekaligus melontarkan rumusan bahawa musuh utama pakatan itu kini ialah
Hadi.
Hadi berbuat demikian sebaik sahaja DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.
"Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar
Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Abdul
Hadi sendiri," ujar Zairil.
"Abdul Hadi menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat
untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi
membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.
"Justeru, tindakan Presiden PAS untuk mengemukakan rang undang-undang
persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat
Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik
tiga parti ini boleh terus berkekalan,” katanya.
Ketujuh-tujuh kerusi itu dikatakan adalah ‘bukti pengkhianatan’ PAS
(Hadi) apabila meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang
ditandatangani oleh Hadi sedangkan ia sepatutnya ditandingi oleh PKR.
Natijahnya, kesemua tujuh kerusi itu di menangi Umno BN.
"Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih
kekal berkuasa dalam PAS, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat," ujar
Zairil.
Bersetujukah ahli-ahli PAS dengan rumusan Zairil ini? Kini sudah rasmi
bahawa DAP mencabar keyakinan dan harga diri setiap lapisan pimpinan
dan penyokong PAS. Mahu pilih kuasa (bersama PKR dan DAP) atau terus
setia pada Hadi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan