SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata DAP memutuskan hubungan dengan parti Islam itu apabila ia mengambil langkah memutuskan hubungan dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ibrahim berkata, keputusan mesyuarat DAP malam tadi itu sekali gus dilihat memberi isyarat yang DAP mahu memutuskan hubungan dengan PAS.
Malah beliau menyifatkan perkara tersebut janggal DAP hanya mahu memutuskan persahabatan dengan Presiden PAS sahaja.
"Keputusan itu keputusan yang kita rasa janggal, sebab presiden mewakili parti. Tiada istilah putus dengan presiden, tetapi putus dengan PAS.
"Kami mendukung kepimpinan presiden dan apa-apa yang berlaku pada presiden bermakna berlaku pada PAS.
"Bagi PAS, kami bersama dengan presiden. Sebarang keputusan khusus untuk presiden, bagi PAS itu keputusan yang janggal dan pelik," katanya yang dipetik The Malaysian Insider.
DAP memutuskan semua hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat buat masa ini, kata Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Beliau mengecam Hadi sebagai pemimpin tidak jujur dan bermaruah serta akur keputusan DAP itu akan meletakkan Pakatan Rakyat dalam keadaan terumbang-ambing.
"DAP tidak boleh bekerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah. DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau," kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
"Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang. DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan," kata beliau.
Keputusan DAP itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti (CEC) yang dipengerusikan malam tadi.
Guan Eng menuduh Hadi sebagai kerap membelakangkan janji yang diberikannya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat, malah sanggup bekerjasama dengan UMNO.
“DAP berasa kesal atas tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan Umno untuk melanggari semangat konsensus serta Dasar Bersama (Pakatan Rakyat),” kata Guan Eng.
Keputusan DAP itu dan kritikan Guan Eng menyusul selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan bersabit pelaksanaan hudud di negeri itu minggu lalu dengan sokongan bulat 12 ADUN Umno dan 34 dari PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan