HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Mac 2015

PAS tingkatkan kawalan keselamatan pemimpin menjelang pemilihan Jun

THE MALAYSIAN INSIDER



Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka bakal meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pemilihan pada Jun depan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Mac, 2015.Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka bakal meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pemilihan pada Jun depan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.



Susulan daripada insiden serangan terhadap dua pemimpin PAS, parti Islam itu kini bakal meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pemilihan pada Jun depan.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka akan memberi perhatian dalam kawalan keselamatan melalui unit amal dan unit keselamatan parti sebagai usaha mengelakkan wujudnya golongan yang bakal mengambil kesempatan untuk melagakan di antara satu sama lain.

"PAS sedar ada pihak yang sedang menangguk di air keruh sempena pemilihan parti pada Jun.


"Oleh itu, saya sarankan agar ahli-ahli PAS dan pemimpin jangan memberi peluang kepada kumpulan ini dengan mengeruhkan keadaan," katanya dalam satu ken‎yataan hari ini. Katanya insiden serangan terhadap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefli Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli‎ mengingatkan kembali tragedi hampir sama yang berlaku pada tahun 60 dan 70 an iaitu kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir ketika itu, Abdul Samad Gul Ahmad Mianji.

"Kejadian serangan kepada ahli politik pembangkang mengingatkan kita kepada tragedi hampir sama yang berlaku dalam tahun 60-70an, sebagaimana yang berlaku kepada Abdul Samad Gol yang ditetak dengan kapak bungkus sekembalinya dari ceramah," katanya sambil menyeru ahli PAS untuk berkempen secara sihat dan mengikut saluran demokrasi.

Beliau berkata, dalam era politik kini, insiden yang melibatkan serangan keganasan terhadap pemimpin  tidak sepatutnya berlaku dan menggambarkan masih wujud suasana tidak selamat di kalangan ahli politik.

Pada masa sama  beliau  turut menggesa pihak polis melakukan siasatan secara terperinci berhubung insiden serangan tersebut.

Katanya, tindakan segera oleh pihak polis dengan mencari penjenayah untuk dihadapan ke muka pengadilan amat penting bagi menghentikan pelbagai tohmahan dan spekulasi liar yang dimainkan oleh pelbagai pihak dalam media sosial.

"Andaian dan tohmahan akan mengeruhkan lagi keadaan dan membuka peluang kepada mereka yang berniat jahat untuk mengambil kesempatan  mendapat modal politik," katanya.

Antara lain beliau juga menggesa pemantauan rumah pimpinan politik perlu ditingkatkan memandangkan kedua insiden  terbabit berlaku dalam kawasan kediaman.

Sebelum ini, kereta pengarah pilihan raya PAS Pusat dibakar di perkarangan rumahnya di Hulu Klang.

Ia berlaku selepas beliau didakwa menjadi dalang kepada usaha menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Khamis lalu ‎Dzulkefly dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di depan rumahnya dekat Shah Alam .

Dzulkefly yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS sebelum ini menyuarakan kebimbangan sama ada ulama dan profesional di dalam parti Islam itu masih boleh bekerja bersama dan melahirkan rasa "sudah hilang hormat" terhadap golongan ulama.

Ia susulan resolusi yang dibuat Multaqa Ulama Semalaysia II anjuran Dewan Ulama PAS pada Sabtu, 21 Februari.

Tiada ulasan: