HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Mac 2015

Anwar di bawah pengawasan 24 jam, kata Nurul Izzah

OLEH SHERIDAN MAHAVERA


Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata pengawasan ketat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah amalan biasa yang diterima oleh tahanan politik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Mac, 2015.Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata pengawasan ketat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah amalan biasa yang diterima oleh tahanan politik. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan di bawah pengawasan 24 jam dalam penjara di mana ahli keluarganya mendakwa tindakan itu mempunyai motif politik.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata, peguam Anwar memberitahu kepada keluarganya, Anwar mempunyai dua pegawai yang memantau ketua pembangkang itu setiap jam malah lokapnya turut mempunyai kamera litar tertutup (cctv).

"Ia adalah amalan yang tidak diberikan kepada tahanan politik dan kita percaya ada arahan dari atas," kata Nurul Izzah yang merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai dan anak sulung Anwar.

Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara di Sungai Buloh selepas mahkamah memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu‎nya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Sebelum ini, pihak berkuasa menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada Anwar meskipun keluarganya membuat rayuan agar diberi kelonggaran atas alasan kecederaan tulang belakang yang dialami. Ini susulan pertemuan 13 Februari di antara Anwar dan keluarganya apabila mendakwa beliau terpaksa tidur di atas tilam nipis yang diletakkan di lantai penjaranya.

Keluarganya menghantar dokumen perubatan kepada Jabatan Penjara berhubung keadaan kesihatan ketua pembangkang tersebut namun setakat ini masih belum ada sebarang respons permintaan tersebut akan dipenuhi.

Nurul Izzah juga menyatakan kekecewaannya terhadap Jabatan Penjara kerana tidak memaklumkan pertukaran bapanya di wad perubatan.

Beliau berkata ahli keluarga hanya mengetahui melalui laporan media yang bapanya dipindahkan di penjara hospital namun tidak menj‎elaskan adakah Anwar dimasukkan ke hospital.

"Saya amat kecewa dengan cara pengurusan pihak berkuasa. Mereka seharusnya menghubungi kami memberitahu mengenai perkembangan (Anwar)," katanya.

Memetik laporan Mstar pada 5 Mac, Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Supri Hashim memberitahu Anwar dipindahkan ke hospital penjara sebelum 25 Februari.

Supri bagaimanapun tidak mendedahkan tujuan perpindahan itu.

Tiada ulasan: