Rafizi Ramli Rafizi Ramli
 
 
 
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyahut seruan Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee untuk membuat pengisytiharan harta dan bakal mengedarkannya di lobi Parlimen pada hari kedua sidang Dewan Rakyat, minggu depan.
 
Menurutnya, beliau akan membuat akuan bersumpah dengan menyenaraikan perkara termasuk kedudukan harta dan hutang terkini.
 
“Saya menyambut baik seruan Ketua Umno Bahagian Cheras supaya saya dan pimpinan PR membuat pengisytiharan harta sebelum mengkritik kekayaan Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan BN yang lain.
 
“Oleh yang demikian, saya akan membuat satu akuan bersumpah yang akan menyenaraikan kedudukan harta dan hutang terkini saya, latar belakang pendapatan serta kerjaya saya sebelum menjadi ahli politik, pendapatan juga perbelanjaan bulanan saya sebagai ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 
 
Sebelum ini, Syed Ali mengkritik tindakan pimpinan PR yang membangkitkan soal harta pusaka bekas Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
 
Dalam pada itu, Rafizi berharap agar selepas ini semua pimpinan Umno bertaraf menteri membuat pengisytiharan sama.
 
“Akuan bersumpah yang mempunyai maklumat ini akan saya edarkan di ruang lobi Parlimen pada 10 Mac ini untuk memberi masa kepada saya mengumpulkan semua maklumat ini berserta dokumen bukti.
 
“Setelah saya membuat pengisytiharan tersebut, saya sangatlah berharap agar Datuk Seri Syed Ali Alhabshee tidak lagi memberi alasan dan memimpin kempen dalaman Umno supaya semua pimpinan Umno bertaraf menteri ke atas membuat pengisytiharan yang sama.
 
“Jika saya yang hanya seorang ahli parlimen biasa boleh membuat pengisytiharan harta yang terbuka sebegitu, anggota-anggota jemaah menteri yang mempunyai kuasa dan boleh menggunakan kedudukan untuk mengumpul harta perlulah membuat pengisytiharan harta juga,” katanya.
 
Mengulas lanjut, Rafizi berpandangan, ahli politik perlu hidup sederhana agar mereka turut merasai kesusahan rakyat.
 
“Hanya dengan cara itu ahli-ahli politik dapat menjadi suara rakyat yang berkesan dan tidak terpisah dengan permasalahan rakyat.
 
“Saya percaya budaya mengisytiharkan harta perlu disemarakkan dan menjemput lebih ramai ahli parlimen dan wakil rakyat dari PR dan BN mengambil langkah yang sama,” katanya.