KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah
menyelar ahli Parlimen yang memakai baju hitam sebagai tanda protes
terhadap Jabatan Penjara berikutan kegagalan permohonan pakatan
pembangkang untuk membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim hadir ke Parlimen.
Shamsul berkata, tindakan protes tersebut sepatutnya tidak berlaku di
dewan yang mulia itu apatah lagi perilaku kesemua mereka ditonton oleh
orang ramai.
"Sebagai wakil rakyat, kita adalah sebahagian daripada yang terlibat
dalam menggubal undang-undang negara, jadi sudah tentu bagi memelihara
institusi ini dan kredibiliti kita sebagai wakil rakyat, kita mesti
menjunjung undang-undang negara.
"Jadi apa sahaja perilakuan yang kita buat dalam Dewan Rakyat ini akan
ditonton oleh rakyat, jadi sudah tentu kita perlu menjadi wakil rakyat
yang bukan sahaja boleh bercakap tetapi boleh melaksanakan
tanggungjawab. Jadi saya fikir tindakan luar-luar dari undang-undang ini
adalah tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita ketika ditemui
di lobi parlimen.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat
yang berpakaian serba hitam antaranya Tian Chua (Batu), Tony Phua (DAP -
Petaling Jaya Utara), Wong Chen (PKR- Kelana Jaya) , Khalid Samad (PAS -
Shah Alam), Teresa Kok (DAP - Seputeh) dan N.Surendran (PKR - Padang
Serai).
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng terus
mempertahankan tindakan protes mereka terhadap sistem Parlimen yang
tidak menyebelahi ketua pembangkang itu.
Katanya, beliau memilih berbuat demikian atas kerelaan sendiri dan bukan mengikut arahan daripada mana-mana pihak.
"Saya pakai baju blazer hitam ini sebagai tanda solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Turut senada dengan Lim, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang yang turut berbuat demikian.
"Sudah tentulah kita ada protes oleh kerana Anwar tidak boleh menghadiri (sidang parlimen kali ini)," katanya.
Pakatan Rakyat sebelum ini mengusahakan agar Anwar dibenarkan
menghadiri sidang Parlimen itu berikutan masih memegang jawatan Ahli
Parlimen Permatang Pauh, meskipun kini beliau bergelar banduan.
Anwar akan memegang jawatan itu sehingga Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)
mengumumkan sama ada menerima atau menolak permohonan pengampunan
daripada Ketua Umum PKR itu.
Beberapa penganalisis politik yang dihubungi Antarapos sebelum ini
menggesa kerajaan agar tidak melayan permintaan Pakatan Rakyat itu dan
melayan Anwar sama seperti banduan lain di penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan