Timbalan perdana menteri juga menolak dakwaan kenyataannya mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menambah beliau bukan hanya menyuarakan apa yang dibincangkan oleh kabinet membabitkan isu itu, malah lebih jauh daripada itu, lapor Bernama.
"Saya tidak fikir begitu (bercanggah), jika anda baca betul-betul dan memahami apa yang saya tulis dalam kenyataan saya, saya rasa ia merupakan kenyataan yang adil.
"Ia merupakan keputusan yang adil. Ia bukan bercanggah dengan apa yang diumumkan oleh perdana menteri," Muhyiddin dipetik berkata selepas pertemuan tertutup dengan Wanita Umno Pagoh di Muar.
Najib juga berkata laporan ketua audit negara itu kelak akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk ketelusan.
Bagaimanapun timbalannya berkata PAC boleh memulakan siasatan sendiri terhadap firma pelaburan negara itu "tanpa perlu menunggu" laporan ketua audit negara.
Menurut agensi berita nasional lagi, Muhyiddin turut mengingatkan pengurusan 1MDB supaya memastikan setiap perancangan mereka tidak meletakkan kerajaan dalam 'kedudukan yang sukar'.
"Saya ingatkan bahawa 'tidak ada usaha menyelamat' kerana saya yakin rakyat Malaysia mahukan jaminan itu," katanya seperti dilaporkan.
Semalam, Muhyiddin berkata dana awam tidak harus digunakan untuk menyelamat 1MDB, dan menambah bahawa lembaga pengarah mesti bertanggungjawab terhadap salah laku yang dikesan.
Beliau juga berkata kerajaan bakal menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah projek-projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia "yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat."
Agensi berita Reuters sebelumnya melaporkan 1MDB mungkin akan dibubarkan dengan memecahkan unit-unitnya, termasuk dua projek besar tersebut, bagi melangsaikan hutangnya sebanyak RM42 bilion.
Malaysiakini semalam menyiarkan kenyataan penuh Muhyiddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan