Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi



ALOR SETAR - Berdasarkan senario politik dalaman Pas, kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti bakal dicabar!

Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya yakin Abdul Hadi dicabar pada pemilihan kali ini berdasarkan kepada faktor dalaman dan luaran.

“Saya yakin ada pencalonan untuk jawatan presiden, cuma yang menjadi persoalannya, adakah calon berkenaan kelak akan terima pencalonan itu. Calon itu berhak tarik diri walaupun dicalonkan bertanding, jika itu berlaku, tidak ada pula pertandingan dan undian,” katanya.

Phahrolrazi yang juga Presiden Pasma berkata, keyakinannya itu berlandaskan kepada pemerhatiannya di mana kebelakangan ini, Pas berdepan banyak isu membabitkan kesepakatan dalam PR.

“Kali ini banyak sangat isu yang berlegar dan menjadi perbahasan dalam PR, ada sesetengah ahli parti mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan. Antara isu besar yang menjadi perbalahan secara terbuka termasuk hubungan dengan DAP, hudud, serta pemilihan menteri besar Selangor,” katanya.

Tambahnya, tidak mustahil isu-isu berkenaan menjadi pencetus kepada wujudnya pencabar kepada Abdul Hadi untuk terus menerajui Pas.

“Pemilihan kali ini dipercayai lebih gawat berbanding pemilihan 2013, kerana sebelum ini tidak banyak isu-isu besar,” katanya.

Bagi jawatan timbalan presiden, Phahrolrazi berkata, saingan untuk Mohamad Sabu dijangka lebih sengit berikutan beliau kini dikaitkan dengan gerakan menjatuhkan presiden termasuk penyebaran rakaman suara yang dikatakan miliknya.

“Jika ada pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, itu perkara biasa. Memang setiap kali pemilihan, kita ramal ada pencalonan. Tetapi jika ada pencalonan jawatan presiden, itu luar biasa!,” katanya.

Ini kerana, katanya, jawatan presiden tidak pernah dicabar sejak tahun 80an.

Mengulas mengenai pencalonan, Phahrolrazi berkata, pada pemilihan lalu, Pas kawasan Kuala Kedah mencalonkan Abdul Hadi sebagai presiden dan Mohamad sebagai timbalannya.

“Untuk pencalonan kali ini, kita perlu tunggu persetujuan perwakilan Pas kawasan dalam Mesyuarat Agung, 20 Mac ini. Sebelum ini, mesyuarat agung cawangan memberi mandat kepada jawatankuasa kawasan untuk buat pencalonan,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat di 93 cawangan Kuala Kedah masih berlangsung, dan bagi pemilihan peringkat kawasan, pencalonan hendaklah diserahkan sebelum 10 Mac ini.

“Kita ikut perlembagaan parti dari segi pemilihan pencalonan, di mana ia sebahagian daripada agenda dalam Mesyuarat Agung Pas kawasan, untuk tentukan calon yang layak. Untuk ketahui calon yang dipersetujui bagi jawatan presiden dan timbalan, perlu tunggu 20 Mac ini,” katanya.