Lans Koperal Zakia Aleip yang diculik kumpulan bersenjata di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai tahun lepas akan dibawa bertemu pakar psikologi sebelum beliau bertugas semula, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata berikutan kejadian itu, Zakia mengalami trauma dan pihaknya akan mengikut nasihat pakar psikologi berkaitan waktu yang sesuai untuk Zakia boleh mula bertugas.
"Saya telah menghubungi Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Jalaluddin Abdul Rahman) dan memberitahu beliau agar Zakia ditukar kepada unit lain dan tidak lagi ditugaskan di bahagian sama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen UMNO Perak di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini.
Zakia, 26, tiba di Sandakan kira-kira 7 pagi hari ini, dan selepas bertemu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, beliau diiringi pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah menaiki pesawat ke Kota Kinabalu.
Pada 12 Julai tahun lepas, Zakia dilarikan sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat yang melakukan serang hendap terhadap Pasukan Polis Marin di Pulau Mabul, Semporna.
Kejadian 11.10 malam itu turut mengorbankan rakan sepasukannya, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32.
"Kita telah mengusahakan sejak sekian lama agar beliau dibebaskan. Oleh kerana ia melibatkan nyawa, maka kita mengambil beberapa langkah mengadakan perundingan supaya Zakia dibebaskan.
"Saya mengucapkan tahniah kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang telah berusaha membebaskan beliau dengan pelbagai cara," kata Ahmad Zahid.
Beliau juga mengingatkan anggota polis agar lebih bersiap siaga dan berhati-hati dalam menjalankan tugas kerana menurutnya, 'jerat tidak pernah melupakan pelanduk'. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan