Oleh V Shuman
Anda buat perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, kemudian bila ada yang membongkarnya,
anda buat laporan dan cuba menyumbatnya ke penjara.Nampaknya itulah
modus operandi sesetengah syarikat berkaitan kerajaan kita kini. Dan
entah dengan logik apa, pihak yang membangkitkan kelakuan mereka kepada
orang ramai dikenakan tindakan.
Mangsa terbaru fenomena tidak masuk akal ini barangkali seorang penulis blog yang tidak dikenali, yang mendedahkan dokumen sulit menunjukkan Tabung Haji membuat pelaburan masalah dengan badan bermasalah, 1MDB.
Penulis
blog itu baru-baru ini menyiarkan keratan dokumen, menunjukkan
urusniaga “lumayan” dan “yang dipercepatkan” antara Tabung Haji dan
1MDB – melibatkan kira-kira RM770 juta.
Namun,
Tabung Haji menafikan laporan yang ia telah membeli dua plot tanah
daripada 1MDB, dan mengatakan mereka hanya membeli satu plot, dengan
harga diskaun RM188.5 juta.
Dalam
satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Johan Abdullah
berkata pelaburan itu selaras dengan perancangan strategik Tabung Haji
untuk fokus dalam pembangunan hartanah di pasaran domestik.
Beliau kemudian membuat laporan polis terhadap blog yang membocorkan dokumen sulit tersebut.
Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar hari ini berkata, kes itu akan disiasat di bawa Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Ini
mungkin kembali mengingatkan kita tentang kemelut National Feedlot
Corporation (NFC). Rafizi Ramli didakwa kerana mendedahkan penglibatan
keluarga Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul dalam pelaburan meragukan
syarikat itu.
Ia termasuk pembelian kondominium mewah menggunakan dana daripada kerajaan.
Rafizi
didakwa kerana menyalahi Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia)
kerana mendedahkan maklumat bank pengerusi NFC Mohamad Salleh Ismail
yang juga suami kepada Shahrizat.
Agak
jelas ia adalah kes tindakan kepada pendedah salah laku, bukannya
pelaku. Yang menyedihkan, sejarah nampaknya mungkin berulang dalam isu
Tabung Haji dan 1MDB ini.
Jika Tabung
Haji memang berurusniaga dengan 1MDB, mengapa tidak maklumkan sahaja
kepada orang ramai, sebelum ia didedahkan oleh pihak ketiga? Apa yang
cuba disembunyikan?
Bukankah ia
melibat wang hasil titik peluh ribuan orang Islam. Kalaulah penulis
blog itu tidak mendedahkannya, adakah Tabung Haji merancang untuk
mendiamkan hal ini selamanya?
Lagi
pun, bukankah individu itu mendedahkan dokumen itu untuk kepentingan
awam – tentang Tabung Haji yang melabur jutaan ringgit dalam entiti
yang kini sedang diaudit?
Bukankah
individu itu yang sepatutnya dilindungi di bawah Akta Perlindungan
Pemberi Maklumat?
Akta ini sememangnya untuk melindungi kakitangan awam
dan pihak lain yang membangkitkan apa-apa salah laku.
Menurut peguam perlembagaan Syahredzan Johan, masalah mungkin dengan bagaimana Akta itu sendiri digubal.
“Masalah
mungkin ada dalam akta itu sendiri. Ia hanya memberi perlindungan
kepada mereka yang membuat laporan rasmi dengan badan penguatkuasa,
seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Di
saat ramai orang ada krisis kepercayaan dengan institusi kerajaan, ini
bukanlah cara yang terbaik untuk menggalakkan pemberian maklumat,”
katanya kepada Semut Harian.
Syahredzan
menyebut pengumuman pantas polis yang mereka akan menyiasat laporan
yang dibuat Tabung Haji, sedangkan ada banyak laporan terhadap 1MDB
yang masih dibiarkan.
“Ini memberikan
persepsi yang pihak berkuasa lebih cenderung memburu mereka yang
mendedahkan salah laku, bukan pelaku sendiri,” katanya lagi.
Hanya
ada dua cara sahaja yang boleh dilakukan. Pertama, meminda Akta
Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan rakyat mendedahkan
maklumat untuk kepentingan awam dengan cara mereka sendiri, tanpa takut
dikenakan tindakan. Ataupun, menjadikan badan penguatkuasa lebih
“dipercayai” di mata orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan