MALAYSIAKINI
DAP mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik balik dan meminta
maaf berhubung kenyataan yang tidak membenarkan Datuk Seri Wan Azizah
Wan Ismail menjejak kaki ke kementeriannya jika calon PKR itu menang
dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kenyataan menteri
pertanian dan industri asas tani itu dianggap sebagai "biadap dan kurang
ajar" kerana ditujukan kepada seorang wanita dan wakil rakyat.
"Ini
satu kenyataan yang biadap dan kurang ajar. Macam mana rakyat Malaysia
yang nak masuk ke lobi pejabat kerajaan pun tak boleh.
"Saya minta Ismail tarik balik dan minta maaf atas kenyataan yang biadap
terhadap seorang wanita, rakyat Malaysia dan wakil rakyat ini.
"Saya harap Ismail Sabri, jangan bertindak liar. Kalau Kak Wan (Azizah)
nak masuk lobi kementerian dan (kemudian) dihalau, itu sudah lebih
(melampau)," katanya.
Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata demikian dalam sidang media
selepas mengadakan lawatan di Wat Siam Tanah Liat di Permatang Pauh hari
ini.
Pada Jumaat lalu Ismail dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa beliau
tidak membenar Wan Azizah memasuki lobi pejabat dekat kementeriannya
jika presiden PKR itu menang pilihan raya kecil Permatang Pauh.
MP Bera dilapor berkata "tiada alasan" untuk beliau membenarkan Wan
Azizah masuk ke bahagian lobi pejabat di kementeriannya tambahan pula
ADUN Kajang itu dari pembangkang.
Sebaliknya Ismail Sabri dilapor berkata beliau akan meluluskan dana
projek pertanian jika calon BN Suhaimi Sabudin yang membuat permohonan
berkaitan dengannya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR N Surendran turut mengecam kenyataan
Ismail Sabri itu yang dianggapnya melanggar Akta Pilihan Raya kerana
didakwa percubaan melakukan rasuah secara terang.
Beliau yang juga seorang peguam berkata bawah seksyen 10(a) Akta Pilihan
Raya 1954, seseorang yang dianggap bersalah melakukan rasuah jika dia
menawarkan satu janji yang dikira bernilai kepada pemilih sebagai
memujuk mereka memilih calon tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan