HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Mei 2015

Kad isian semula: Najib arah Shabery Cheek ambil alih

 
Hanya Menteri Komunikasi dan Multimedia yang boleh membuat sebarang pengumuman kepada rakyat berkenaan isu harga kad isian semula telefon prabayar.


Ahmad-Shabery-Cheek_najib_600


PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah diarahkan supaya mengambil alih tanggung jawab berhubung isu penetapan harga kad isian semula telefon prabayar.

Arahan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dimuat turun melalui statusnya di laman sosial Facebook pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata, mulai sekarang hanya Shabery boleh membuat pengumuman kepada rakyat berhubung isu harga kad isian semula itu.

“Shabery Cheek please take charge of the top up issue. Mulai sekarang, sebarang pengumuman kepada rakyat hanya boleh dibuat oleh Menteri KKMM sahaja,” tulis Najib.

Harga kad isian semula menjadi kontroversi apabila Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Khazali Ahmad pada Rabu, mengumumkan harga kad itu tidak akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 Mei.

Sehubungan itu, semua syarikat telekomunikasi diarah akur dan menjual pada harga sebelum 1 April.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak bersetuju dengan kenyataan Kastam itu.

Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, agak mustahil untuk pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dalam masa dua hari dengan kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei, seperti yang diminta.

Halim berkata, agak rumit untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, bukan hanya di pihak pembekal perkhidmatan bahkan juga bagi ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang berjumlah kira-kira 30,000.

Halim berkata, ia juga melibatkan kos yang besar bagi pihak pembekal perkhidmatan dan ejen-ejen pihak ketiga selain stok baharu kad prabayar perlu dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara.

Susulan bantahan SKMM, Kastam membuat pusingan U dengan menangguhkan arahan supaya kad isian semula tidak dikenakan GST.

Ini bermakna, bagi kad isian semula bernilai RM10 akan dijual pada harga RM10.60 termasuk enam peratus GST.

Tindakan pusingan U yang dibuat Kastam itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar, yang menasihatkan Khazali berhenti membuat kenyataan yang memalukan.

Tiada ulasan: