shahbudindotcom
Siapa
bercakap benar dan siapa berbohong dalam isu perletakan jawatan Speakar
Dewan Rakyat, Pandikar Amin Haji Mulia akhirnya boleh dinilai sendiri
oleh rakyat.
Seakan
tidak dapat menahan beban dalam jiwa selepas hasratnya meletakkan
jawatan didedahkan oleh Tun Mahathir Mohamad, Pandikan Amin mengadakan
sidang akhbar mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku.
Beliau mengakui memang menghantar surat perletakan jawatannya kepada Najib walaupun pada Sabtu lalu, kira-kira jam 10 malam, sudah mengeluarkan kenyataan akhbar menafikan perkara itu.
Menurutnya,
surat perletakan jawatan itu bukan saja ditolak, bahkan tidak dibuka
oleh Najib, sebaliknya Perdana Menteri berjanji menangani rungutannya
dan melakukan transformasi di Parlimen.
Sehubungan itu, kata Pandikar, beliau memutuskan untuk terus kekal sebagai Speaker.
Bercakap
dalam program jelajahnya di Ipoh Sabtu lalu, Tun Mahathir berkata,
Pandikar Amin memberitahunya mengenai perletakan jawatan itu dan antara
perkara yang dirungutnya ialah kelengkapan perabot di pejabatnya.
Semalam
pula, Pengerusi BNBBC Shahrir Samad berkata, ketiadaan tandas di
pejabat Speaker mungkin menjadi sebab tindakan yang diambil oleh
Pandikar Amin itu.
Walaupun
isu ini dianggap selesai dan kebenarannya boleh dinilai sendiri oleh
rakyat, tetapi imej dan kredibiliti Pandikar Amin sudah calar balar
kerananya. Tidak ada mana-mana Speaker berbuat sebegini sebelum ini.
Ramai
menyifatkannya tidak teguh pendirian, mudah dipujuk, merajuk kerana isu
remeh dan tidak cukup berani sebagaimana gah orang menyebut namanya.
Jika
isu kelengkapan perabot dan pejabat yang menjadi isu, ramai yang
kehairanan bagaimana Zahir Ismail yang lebih lama dan Ramli Ngah Talib
yang juga tidak kurang lamanya sebagai Speaker sebelum ini, boleh
bertahan dan tidak merungut apa-apa mengenainya.
Selain
imej dan kredibilitinya sudah terjejas, satu-satunya yang sukar bagi
Pandikar Amin selepas ini ialah beliau tidak lagi mendapat kepercayaan
sepenuhnya daripada Najib.
Di
ketika sedang bergasak dengan Tun Mahathir, Najib tentunya berkecil
hati apabila akhirnya mengetahui Pandikar Amin didapati telah menemui
bekas Perdana Menteri yang merupakan musuh utamanya secara
sembunyi-sembunyi dan mengadu macam-macam hal kepadanya.
Sudah
tentu timbul dalam pemikiran Najib, jika hal perabot pun diadukannya
kepada Tun Mahathir, tentulah hal-hal lain yang lebih besar turut
menjadi tajuk perbincangan yang dibawa oleh Pandikar Amin.
Najib
juga pastinya terguris hati kerana Pandikar Amin lebih dulu mengadu
kepada Tun Mahathir mengenai perletakan jawatannya sedangkan beliau
adalah Perdana Menteri yang melantiknya ke jawatan Speaker itu.
Siapa
pun berada di tempat Najib, kepercayaannya tentu saja sudah berkecai
terhadap Pandikar Amin yang seolah-olah sudah "main dua kolam"
dengannya.
Dalam
masa yang sama, Pandikar Amin juga tidak lagi dipercayai oleh Tun
Mahathir selepas ini kerana kegagalan mengotakan kata-kata mahu
meletakkan jawatan itu sedangkan beliau sendiri yang mahu bertemu dan
bercakap mengenai isu tersebut dengan bekas Perdana Menteri itu.
Untuk
sementara waktu, walaupun Pandikar Amin boleh kekal sebagai Speaker,
selain kepercayaan terhadapnya sudah terhakis, tidak mustahil Najib juga
sudah mulai mengintai-ngintai nama lain untuk menggantikan tempatnya
atas sikap "main dua kolam" yang ditunjukkannya itu.
Tambahan
pula di ketika Najib sudah beberapa kali berikrar tidak akan menyerah
kalah atau tunduk kepada desakan Tun Mahathir yang memintanya agar
berundur, sikap Pandikar Amin ini umpama duri dalam daging kepada
kelangsungan hayat politiknya.
Daripada
terus bekerja dalam keadaan tidak dipercayai atau mungkin diminta
mengundurkan diri selepas ini, pilihan terbaik bagi Pandikar Amin ialah
memutuskan tekad untuk menghantar surat perletakan jawatannya sekali
lagi kepada Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan