KUALA LUMPUR - Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) menyambut baik cadangan untuk menambah baik institusi Parlimen di negara ini yang disuarakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, usaha itu perlu dimulakan dengan mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan pada 2002.

"Kita mahu transformasi itu untuk wujudkan garis pemisah antara pihak eksekutif dan Parlimen seiring dengan transformasi politik negara.

"Pembaharuan itu juga untuk mengembalikan Parlimen sebagai satu institusi bebas dan berkecuali daripada pihak eksekutif," katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan speaker Dewan Rakyat itu semalam yang menggesa transformasi Parlimen dilakukan segera selepas usaha itu gagal direalisasikan sejak tujuh tahun lalu.

Antara transformasi itu ialah memansuhkan jawatan menteri hal ehwal Parlimen, yang kini disandang oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

Selain itu, transformasi Parlimen akan membantu memulihkan persepsi awam terhadap kebebasan seorang Speaker Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata, cadangan untuk memansuhkan jawatan menteri hal ehwal Parlimen akan menyebabkan institusi itu dilihat seperti jabatan kerajaan yang lain.

"Parlimen tak boleh dilihat sebagai jabatan kerajaan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Shahrir juga berkata, usaha transformasi itu perlu dimulakan terlebih dahulu oleh speaker Dewan Rakyat untuk menentukan hala tuju dan mengembalikan kebebasan kepada Parlimen.

"Saya berharap speaker sendiri yang memulakan proses itu (transformasi Parlimen) dengan menubuhkan satu jawatankuasa kerja yang boleh disertai oleh pengamal undang-undang, bekas ahli Parlimen atau bekas menteri yang mempunyai kefahaman tentang Parlimen.

"Jawatankuasa kerja ini boleh menerima pandangan semua ahli parlimen dan juga orang biasa yang berminat tentang soal hala tuju dan nak kembalikan balik ke Parlimen sebagai institusi yang bebas dan tersendiri daripada eksekutif," katanya.

Bagaimanapun, Shahrir berkata transformasi Parlimen yang bakal dilakukan perlulah mengikut sistem politik negara ini.

"Perubahan yang kita nak buat kena ikut keadaan politik negara yang sebenar, kita bukan nak buat pengasingan nyata kerana mereka yang jadi menteri itu juga adalah seorang ahli Parlimen," katanya lagi.