HALAMAN SANTAI

Jumaat, 8 Mei 2015

Pendeposit bimbang caruman Tabung Haji diguna bayar hutang 1MDB

 
Rata-rata pendeposit TH di laman sosial tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan terdapat seruan supaya pendeposit mengeluarkan simpanan mereka.


jawawi



PETALING JAYA : Pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan berikutan pendedahan pembelian tanah milik 1MDB  berharga RM188.5 juta oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Rata-rata mereka bimbang sekiranya deposit yang disimpan umat Islam untuk menunaikan Fardhu Haji itu digunakan bagi membiayai hutang 1MDB.

Antara yang menyuarakan kebimbangan itu termasuk EXCO Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar, yang merupakan pendeposit TH.

“Sebagai pendeposit Tabung Haji saya ada hak nak tanya, kalau info tak bocor, confirm lah duit simpanan kami digunakan untuk beli tanah 1MDB di TRX (Tun Razak Exchange).

“Terima kasih kepada yang bocorkan maklumat tersebut,” tulisnya di Facebook.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ,Amidi Abd Manan juga bimbang jika pembelian itu boleh menjejaskan simpanan umat Islam.

Katanya, pendedahan itu seperti berulangnya skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) malah teruk kerana menggunakan wang tabungan bakal jemaah Haji.

Dia menuntut  siasatan dijalankan oleh pihak bertanggungjawab bagi memastikan kebenaran laporan itu seperti disiarkan di blog dan media.

“ABIM memandang serius perkara ini. Ia boleh menjejaskan simpanan umat Islam di Malaysia yang berhajat untuk menunaikan rukun Islam kelima.

“Jika benar dakwaan ini, maka ia merupakan ulangan kepada skandal PKFZ. Tapi ia lebih buruk lagi kerana menggunakan duit tabungan bakal-bakal jemaah Haji Malaysia,” katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata TH telah digunakan untuk ‘bail out’ 1MDB secara kecil-kecilan.

Katanya, TH membeli tanah itu dengan harga berpuluh kali ganda daripada harga asal sedangkan 1MDB hanya mendapat plot itu dengan harga RM4 juta daripada kerajaan Malaysia.

Katanya, 1MDB juga belum mendapat kelulusan penuh terhadap tanah itu tetapi TH telah membayar 100 peratus ketika perjanjian jual beli ditandatangani.

“ini boleh membawa kepada pecah amanah wang caruman pendeposit TH sekaligus memberi impak negatif kepada institusi yang disegani di negara ini.

“Saya berpendapat pencarum berhak membantah tindakan TH ini dipergunakan sesuka hati untuk menyelamatkan 1MDB,” katanya.

Husam juga menuntut agar Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan kerana memberi kenyataan bercanggah.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik pula berkata, kontroversi melanda TH kerana penglibatan orang politik di dalam pentadbiran tertinggi.

“Penglibatan orang politik hanya akan menimbulkan situasi ‘pertembungan kepentingan’ di dalam pentadbiran dan hala tuju di samping menimbuilkan kesangsian dan keraguan pencarum,” katanya yang merujuk kepada Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Katanya, Pengerusi TH sepatutnya dilantik di kalangan tokoh korporat berjiwa Islamik, bebas politik dan terbukti kemampuanya serta diperakui semua pihak.

Tiada ulasan: