Oleh Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid
2008 merupakan permulaan baru bagi politik Malaysia apabila munculnya sebuah gabungan parti politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Kerjasama ketiga-tiga parti membawa harapan baru kepada rakyat Malaysia yang sudah penat dengan rejim Barisan Nasional yang semakin layu serta tidak berupaya dalam menyelesaikan isu negara dan rakyat.
Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) juga membuktikan sokongan rakyat yang tidak berbelah bagi menyanjung aspirasi sebuah gabungan parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat. Kini, PR sudah mula "naik bulu" dan hilang arah perjuangan. Apa sudah jadi?
Mungkin mereka lupa kegagalan mereka pada 1998 yang membentuk Barisan Alternatif (BA) berpecah disebabkan ketidaksefahaman parti, terutamanya PAS dan DAP. Kali ini, perkara yang sama berlaku apabila gabungan parti pembangkang dikatakan akan berpecah dalam tempoh dua minggu.
Perpecahan ini berlaku disebabkan prinsip parti PAS yang konsisten memperjuangkan hukum hudud yang mempunyai hubung kait dengan konsep negara Islam. Paling menyedihkan apabila luahan ini disuarakan orang yang sama memecahkan gabungan BA 17 tahun yang lalu pada 2001, saudara YB Lim Kit Siang.
Skrip lama digunakan untuk memecahkan PR dan perkara ini memperlihatkan DAP masih sukar bertolak-ansur dengan PAS walaupun sudah berkali-kali membentuk parti gabungan.
Mungkin PAS lupa, isu mengenai "United Government" (UG) ini sudah lama dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur pada 2009. Keputusan dalam mesyuarat tersebut jelas menolak sebarang usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno yang mencari peluang untuk merialisasikan hasrat mereka menarik pengundi Islam dan Melayu untuk terus berkuasa sebagai parti pemerintah.
Bukankah PAS merupakan sebuah parti berprinsip dan tidak mudah kalah dalam memperjuangkan nasib rakyat? Tapi mengapa layu berhadapan dengan Umno/BN? Fikir-fikir wahai presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Mungkin PKR lupa, tanpa PAS dan DAP, mereka tidak boleh sampai ke tahap yang cemerlang dalam arena politik Malaysia. Dari satu kerusi parlimen di Dewan Rakyat pada 2004, terus meningkat kepada 31 buah kerusi pada 2008, memenagi undi popular bersama PR dan berjaya memerintah negeri Selangor.
Kejayaan ini membuktikan PKR memerlukan PAS dan DAP dalam perjuangan mereka, terutamnya agenda untuk merampas Putrajaya daripada BN. Penulis berharap Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi insan yang penting dalam mengembalikan semangat kerjasama PR yang lebih berdisplin dan matang dalam mengendalikan perbezaan pendapat dalam PR.
Cukuplah dengan perbalahan yang tidak menyenangkan hati rakyat berkenaan dengan prinsip parti yang masih kabur serta lemah untuk menggantikan BN. Tiba masa pemimpin ketiga-tiga parti menerima hakikat, agenda untuk menumbangkan regim BN tidak mampu dilaksanakan tanpa kerjasama yang erat dan berdisiplin antara ketiga-tiga parti.
Peluang PR untuk duduk di Putrajaya sangat cerah tetapi atas sebab konflik dalaman yang tidak berkesudahan menyebabkan pihak pembangkang masih lagi "membangkang" dan "kebelakang"’.
Saya bimbang rakyat yang mengundi PR pada PRU 13 akan menjadi punca utama PR kalah pada PRU 14 disebabkan kelemahan PR yang gagal menyelesaikan konflik sendiri tetapi "cuba menyelesaikan masalah rakyat".
* Penulis merupakan pelajar tahun akhir Kajian Politik dan Pemerintahan, UNIMAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan