RAWANG - Tiada kes culik atau melarikan murid sekolah diterima pihak polis di Rawang mahupun Gombak setakat ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengulas kes cubaan culik di sebuah taska Bandar Tasik Puteri Isnin lalu dan di sebuah sekolah di Rawang pertengahan Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau menyarankan ibu bapa dan pihak sekolah berwaspada dan mengingatkan anak-anak menunggu di kawasan selamat, terbuka dan mudah dilihat.

“Kita tidak boleh buat andaian dan masih mengumpul bukti motif gangguan tersebut sama ada unsur culik ataupun masalah keluarga.

“Sementara kes melibatkan sebuah sekolah di Rawang pula tidak dibuat laporan polis menyebabkan siasatan terganggu.

“Tapi buat masa ini tiada lagi kes tersebut berlaku dan penjaga dinasihatkan supaya tidak panik namun pastikan keselamatan anak-anak berada di tahap baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, polis sentiasa melakukan rondaan berkala terutama pada waktu pagi dan waktu sekolah tamat untuk kawalan lalu lintas selain unit peronda.

Isnin lalu, sebuah sekolah di Rawang telah mengeluarkan notis peringatan kepada penjaga supaya meningkatkan keselamatan anak-anak ekoran terdapat cubaan penculikan sekitar 11 Mei lalu.

Difahamkan sebuah kereta Wira dinaiki empat lelaki cuba menarik murid berkenaan ke dalam kereta ketika berhenti untuk makan di Pekan Rawang bersama keluarga.

Sementara di Bandar Tasik Puteri pula, pengurusan sebuah taska bertindak membuat laporan polis selepas mendapat maklumat berkenaan beberapa lelaki menaiki sebuah van mengekori dan mengganggu dua beradik selepas pulang dari sekolah.

Adiknya berusia sepuluh tahun diberikan gula-gula lolipop sementara abangnya ditepuk bahu sewaktu ketika hendak  Jumaat.