Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail tidak menghadiri mesyuarat ketika badan pengendali ibadah haji itu membuat keputusan berhubung sebarang urusan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kata Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Azeez Abdul Rahim, keadaan itu berlaku bagi mengelakkan wujud sebarang percanggahan kepentingan kerana Ismee juga berkhidmat sebagai ahli lembaga 1MDB.
Di Tabung Haji, Ismee juga bertindak sebagai pengarah urusan kumpulan.
"Beliau juga tidak dimaklumkan langsung mengenainya," kata Abdul Azeez di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Selain Ismee, ada tiga dua nama lain dalam Tabung Haji yang mempunyai kaitan dengan 1MDB iaitu Datuk Johan Abdullah (timbalan Ismee) dan Tan Sri Abdul Samad Alias (ahli panel pelaburan Tabung Haji).
Mengenai Johan, Azeez berkata, tokoh itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Edra (anak syarikat 1MDB) dan tidak terlibat dengan sebarang keputusan mengenai syarikat berkenaan serta sektor hartanah agensi tersebut.
Deposit dijamin kerajaan
"Dan Tan Sri Samad hanyalah penasihat bebas kepada 1MDB. Beliau tidak memiliki kapasiti membuat keputusan seperti ahli lembaga pengarah," katanya.
Tabung Haji menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu ekoran tindakannya membeli tanah milik 1MDB di kawasan yang akan dibangunkan sebagai Tun Razak Exchange (TRX).
Sambil menafikan langkah pembelian tanah itu adalah untuk menyelamatkan 1MDB, Abdul Azeez merayu kepada pendeposit Tabung Haji supaya tidak mendengar khabar angin mengenai isu berkenaan.
"Saya nak bagi tahu semua pak cik dan mak cik, deposit mereka - walaupun RM1 - dijamin kerajaan.
"Kami tidak menggunakan wang tabungan ke Makkah untuk kepentingan diri sendiri," katanya.
Azeez turut menyatakan Tabung Haji membelanjakan kira-kira RM120 juta sebagai subsidi untuk jemaah haji tahun ini.
Katanya, kos sebenar untuk seorang jemaah haji ialah RM17,270 tetapi Tabung Haji hanya mengenakan bayaran RM9,980 sejak 2009.
"Jika kami tidak terlibat dalam pelaburan seperti ini, bagaimana untuk kami memberikan subsidi berkenaan?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan