KUALA LUMPUR,  Beberapa peruntukan yang dibentangkan pada Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini perlu diberi penekanan, kata Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming.


Bercakap kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2016 di Parlimen hari ini, Ong berkata, ada sebahagian aspek yang baik dalam bajet itu, namun ada yang perlu disemak semula.

“Meningkatkan kadar gaji minimum di Semenanjung kepada RM1,000 dan RM920 di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan kadar marginal dari 25% kepada 28% bagi yang berpendapatan RM600,000 dan RM1 juta ke atas adalah baik.

“Tetapi perlu difikirkan tentang beberapa perkara lain yang dibentangkan dalam jumlah yang besar yang berada di luar bajet.

“Ia tidak termasuk dalam bajet dan kita perlu membayarnya walaupun kita tidak melihat angka itu sekarang,” katanya.

Ong berkata, apa yang perlu diambil kira ialah jika tidak dibayar sekarang, generasi akan datang yang perlu menanggung kesannya.

Walaupun pengecualian cukai bagi sesetengah pihak dalam kumpulan berpendapatan sederhana, Ong berkata bajet itu juga tidak memfokuskan kepada mereka sepenuhnya.

“Saya merupakan pengundi kelas pertengahan di Malaysia dan saya tidak mendpaat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kerana berpendapatan agak tinggi.

“Dan tiada kelebihan untuk kita dari segi perkara lain. Jadi pada saya golongan pertengahan agak disisihkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, bajet bukanlah sesuatu yang boleh meningkatkan ekonomi, dan ia sudah dijangka.

“Tiada apa yang mengejutkan dalam bajet. Ia tidak menggambarkan kesusahan rakyat yang disebabkan oleh GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kenaikan harga petrol, dan skandal 1MDB.

“Saya tidak nampak sesuatu yang menggembirakan mengenai apa yang dibentangkan hari ini.

“Bajet ini akan terus memberi impak kepada ekonomi dan saya tidak rasa ia membantu memulihkan keadaan,” katanya.