HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Oktober 2015

Dakwaan komplot guling presiden dedah kelemahan Wan Azizah - Penganalisis

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dakwaan wujud komplot mahu menggulingkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpunca daripada kredibiliti pemimpin nombor satu parti itu yang tidak begitu menyerlah.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat pergerakan komplot dari dalam parti itu sebenarnya sudah lama wujud seraya hanya menambahkan liabiliti kepada parti jika Azizah terus diangkat menjadi presiden.
 
"Saya melihat bahawa krisis dalam PKR ini bukan perkara baru. Kita tahu perkara ini berlaku sejak Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara dan kita juga tahu bahawa berlaku sebenarnya perebutan jawatan presiden itu sendiri.
 
"Dan juga kita lihat bahawa dalam pelbagai isu memang wujud ketidaksefahaman dalam pimpinan atasan PKR berhubung berbagai perkara. Seperti mengadakan kerjasama dengan PAS misalnya. Dan juga mengadakan kerjasama dalam penubuhan Pakatan Harapan itu sendiri. Dan ini merupakan satu perkara tidak boleh dielakkan kerana kita tahu kepimpinan Datuk Seri Wan Azizah sebenarnya agak longgar dan beliau tidak mempunyai karisma sendiri untuk membawa parti ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
 
Beliau mengulas kenyataan penulis blog Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard yang mendakwa sekumpulan pemimpin kanan PKR membentuk kartel bagi merancang komplot untuk menggulingkan presiden parti.
 
Katanya, alasan pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan presiden mengumumkan penubuhan gabungan baru pembangkang pada 22 September lalu secara tergesa-gesa selepas perbincangan meja bulat adalah tidak benar sama sekali.
 
Bahkan Martadha juga berkata isu penggulingan terhadap presiden PKR itu sebenarnya bertambah menyerlah sejak Pakatan Harapan ditubuhkan.
 
"Jadi kita lihat terdapat rungutan dan desas-desus yang mengatakan bahawa wujudnya pakatan untuk menjatuhkan beliau sebagai presiden parti," katanya.
 
"Bagi saya krisis kepimpinan dalam PKR memang wujud. Namun tidak jelas mungkin kerana sebab tidak ada isu besar berlaku di dalam PAS dan mungkin juga dalam isu-isu pakatan itu sendiri menyebabkan kurangnya timbul atau pendedahan konflik dalam kepimpinan PKR itu sendiri.
 
"Namun apabila wujudnya Pakatan Harapan dan kritikan-kritikan daripada setengah pihak dalam Pakatan Harapan itu sendiri yang menyatakan bahawa mungkin pembentukan Pakatan Harapan itu tidak dibuat secara teliti daripada semua pihak. Jadi itu yang menyebabkan desas-desus suara di belakang yang membangunkan kewibawaan kepimpinan tertinggi PKR itu tidak lagi boleh membawa hujah sokongan kepada penyokong-penyokong dalam PKR itu sendiri," katanya lagi.
 
Beliau dalam pada itu menjangkakan akan ada usul terhadap tindakan Wan Azizah yang dilihat berat sebelah dalam beberapa isu sejak muntakhir ini.
 
"Saya kira akan ada usul yang dikemukakan oleh wakil-wakil terutama yang mengkritik kenapa penubuhan Pakatan Harapan itu dibuat secara tergesa-gesa?
 
"Dan apakah sebenarnya hala tuju PKR di dalam Pakatan Harapan ini dan apakah sebenarnya peranan PKR di dalam Pakatan Harapan ini nanti? 
 
"Kerana kita lihat mungkin ada setengah-setengah pihak mengambil pandangan bahawa DAP agak memonopoli di dalam Pakatan Harapan itu sendiri dan juga di dalam masa yang sama, serpihan daripada wakil-wakil rakyat PAS yang di luar daripada parti dan Parti Amanah Negara mungkin dianggap sebagai agenda penting sehingga menenggelamkan peranan PKR itu sendiri," jelasnya.
 
Seraya itu, kata Martadha, Azizah kini berdepan dengan krisis imej parti apabila PKR kini dilihat tidak begitu dominan sejak penubuhan Pakatan Harapan.
 
"Jadi yang kita nampak keanggotaan parti baru Amanah ini dan juga dalam masa yang sama peranan DAP yang dianggap lebih besar berbanding PKR.
 
"Sedangkan PKR mempunyai peranan yang cukup besar kerana mereka mentadbir kerajaan Selangor, namun kita lihat bahawa peranan mereka tidak begitu wujud atau pun dikesampingkan di dalam skop yang lebih besar di dalam Pakatan Harapan itu sendiri," katanya.
 
PKR akan mengadakan Kongres Nasional Tahunan di Shah Alam, Selangor pada 30 Oktober dan 1 November ini.
 
Badrul Hisham kelmarin mendakwa kartel berkenaan sedang dalam usaha untuk bersatu dengan kumpulan-kumpulan kecil dalam PKR yang kecewa dengan keangkuhan Setiausaha Agung parti, Rafizi Ramli.
 
Beliau memberitahu, pasukan yang bakal dibentuk itu agak besar dan akan memberi cabaran kepada Wan Azizah.
 
“Kepada Wan Azizah, belajarlah kesilapan Anwar iaitu kamu ada banyak panglima setia tetapi kamu sendiri singkirkan mereka kerana tenggelam dalam fatamorgana puji dan puja,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: