GEORGE TOWN: Kerajaan Malaysia wajar menuntut pampasan daripada
kerajaan Indonesia terhadap kerugian yang dialami oleh sektor perniagaan
dan pelancongan akibat masalah jerebu yang melanda negara ini.
Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata saban
tahun Malaysia menghadapi masalah jerebu yang berpunca dari Indonesia
dan sehingga kini masalah itu masih belum berjaya diselesaikan.
Katanya keadaan udara yang kembali berjerebu setiap tahun menyebabkan
perniagaan oleh penjaja merosot sehingga 30 peratus, kos perubatan
meningkat serta sekolah terpaksa ditutup dan jumlah kedatangan pelancong
menurun.
"Saya fikir kita perlu meminta mereka (kerajaan Indonesia) memberi
pampasan. Bagaimanapun, kos kerugian sebenarnya sukar ditafsirkan,"
katanya.
Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, berkata demikian kepada pemberita pada majlis perhimpunan
pesta kuih bulan/tanglung di sini, malam ini.
Jerebu sekali lagi 'menyelubungi' dan mencemari ruang udara Malaysia
dan Singapura, berikutan aktiviti pembakaran hutan untuk tanaman kelapa
dan pulpa di beberapa wilayah di Indonesia, antaranya Sumatera,
Kalimantan dan Riau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan