SEMATAN,  Sarawak perlu mengisi kekosongan dalam penyelidikan perikanan laut selepas kehilangan keupayaannya lima tahun lalu.


Timbalan Ketua Menterinya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, kerajaan negeri kini sedang dalam perbincangan dengan kerajaan pusat untuk membolehkan kapal penyelidikan Jabatan Perikanan Sarawak, KK Manchong digantikan dengan yang baru selepas ditamadkan pada tahun 2000.

“Kita masih belum dapat menjalankan inventori marin dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif,” kata Jabu selepas mengadakan lawatan di MV Seafdec 2, di perairan Sematan.

Kerajaan negeri bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini sedang bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Perikanan SEA untuk menjalankan kajian di 196 kawasan sepanjang perairan Sabah dan Sarawak.

Kajian terakhir yang dibuat adalah pada 17 tahun lalu.

“Seafdec sedang membantu kami setakat ini, tetapi kami turut mempunyai jabatan untuk mengawal sumber marin. Cuma tidak cukup peralatan untuk melaksanakannya,” katanya.

Kapal penyelidikan baru dijangka menelan kos sebanyak RM35 juta kini Jabu yakin ia akan diluluskan oleh kerajaan pusat.

“Ini juga merupakan sebahagian daripada penurunan kuasa kepada negeri ini. Kita telah jalankan kajian sebelum ini sehingga kapal itu tidak dapat digunakan lagi dan memerlukan kelulusan kerajaan pusat untuk penggantian kapal baru,” katanya.