HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Oktober 2015

Bajet 2016 mampu tingkat sokongan Cina kepada BN

 
Perdana Menteri mengambil kira apa yang dimahukan MCA dan diterjemahkan dengan bajet yang dapat diterima masyarakat Cina.


Liow-Tiong-Lai-MCA


PETALING JAYA: MCA yakin Bajet 2016 mampu meningkatkan sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Keyakinan itu disuarakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai susulan kerajaan mendengar input yang diberikan parti itu berhubung keperluan mengambil kira golongan pertengahan ketika mengubal Bajet 2016.

“MCA memberikan input yang memberi penekanan kepada kumpulan berpendapatan sederhana.

“Kami gembira bahawa Perdana Menteri benar-benar memberi tumpuan kepada membantu kelompok M40, kumpulan berpendapatan di antara RM3,500 hingga RM8,000. Kami gembira kerajaan mengurangkan cukai terhadap kumpulan ini”, katanya dipetik portal bnbbc.

Menteri Pengangkutan itu berkata, Perdana Menteri mengambil kira apa yang dimahukan MCA dan diterjemahkan dengan bajet yang dapat diterima masyarakat Cina, walaupun lebih banyak peruntukan yang diberikan kepada kaum India.

“Sekurang-kurangnya masyarakat Cina akan melihat bahawa kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab.
“Sebuah kerajaan yang merancang bajet fiskal yang baik dan memastikan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan dengan kawalan defisit pada 3.1 peratus,” katanya.

Tiong Lai berkata, secara keseluruhan bajet itu mampu membantu meningkatkan ekonomi negara lantaran pelbagai projek diperbaiki manakala segala pemberian sebelum ini dikekalkan.

“Kami berjaya meyakinkan supaya semua kes kebajikan tidak ditarik balik. Pelbagai projek yang baik tidak ditarik balik, sebaliknya Perdana Menteri memberi tambahan terhadap projek sedia ada.

“Projek-projek lama seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia diteruskan, sokongan kepada OKU dan juga sokongan untuk sekolah-sekolah diteruskan. Kami berharap ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara kita, “katanya.

Tiada ulasan: