HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Januari 2016

2016 adalah tahun penting bagi Malaysia

SINAR HARIAN


TPP


KUALA LUMPUR - Bermula esok, tahun 2016 bakal menyaksikan beberapa acara penting berlangsung di negara ini yang melibatkan hala tuju negara dalam hubungan antarabangsa, aspek keselamatan dan pertahanan serta kepenggunaan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang akan membahaskan isu penyertaan Malaysia sebagai negara anggota dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada 26 dan 27 Jan ini. Ia disusuli dengan mesyuarat khas Dewan Negara pada 28 Januari.

Malaysia bersama 11 lagi negara lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam telah memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta, Georgia pada 5 Oktober lepas, setelah lima setengah tahun menjalankan rundingan.

Berdasarkan takwim Parlimen Malaysia, mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-13 akan berlangsung selama 20 hari bermula 7 Mac depan, manakala mesyuarat kedua selama lapan hari bermula pada 16 Mei diikuti mesyuarat ketiga selama 25 hari bermula pada 17 Oktober.

Mesyuarat ketiga itu penting kerana pada sesi berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 untuk Belanjawan 2017. 

Tahun 2016 juga menyaksikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM260 bilion yang diluluskan pada persidangan Parlimen Mei lepas, bagi memacu negara dalam tempoh lima tahun terakhir menuju status negara maju pada 2020.

Antara matlamat RMK11 yang bertema 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' ialah ekonomi akan didominasi aktiviti berintensifkan pengetahuan dan bernilai tambah tinggi, dan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi.

Selain itu, ia memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan lebih bersepadu di peringkat serantau dan global.

Sementara itu, Persidangan Antarabangsa mengenai "Diradikalisasi dan Menentang Jenayah Ekstrimis 2016" (IDC 2016) akan berlangsung di ibu negara pada 25 hingga 26 Januari depan.

Persidangan itu antara lain akan membincangkan penyediaan prosedur operasi standard untuk menangani radikalisasi, yang diharapkan dapat mengubah sikap dan pemikiran serta meneutralkan mereka yang terlibat dalam kegiatan keganasan di seluruh dunia.

Antara pemimpin luar yang dijangka menghadiri persidangan itu ialah Menteri Pertahanan negara-negara anggota Asean serta pemimpin negara lain termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Australia, United Kingdom, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jepun dan China yang bertanggungjawab dalam menangani ancaman ekstremis militan.

Sementara itu, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 21 April, akan menyaksikan lebih 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan keselamatan dari lebih 50 negara  mempamerkan teknologi terbaru dalam bidang pertahanan.

Dari segi politik pula, pilihan raya Dun Sarawak akan diadakan sebelum Jun 2016 dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem buat pertama kalinya mengetuai Barisan Nasional negeri. 

Pilihan raya Sarawak kali ini akan menyaksikan pertandingan di 11 kerusi baru iaitu N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66  Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu berikutan persempadanan semula bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri itu yang diluluskan di Parlimen tahun ini.

Dengan itu, jumlah kerusi Dun Sarawak meningkat kepada 82 kerusi.

Bagi parti pembangkang, pilihan raya negeri itu akan memperlihat kekuatan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah).

Pas, walaupun kini bersendirian, akan bertanding di 11 kawasan Dun iaitu di Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa dan Dudong.

Pilihan raya Sarawak juga mungkin medan terakhir parti-parti politik di negara ini menguji kekuatan masing-masing kerana tiada lagi pilihan raya kecil diadakan memandangkan tempoh Parlimen bersidang berakhir pada Jun 2017. - Bernama


Tiada ulasan: