PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilapor bersetuju
dengan dua syarat yang ditetapkan pengasas produk kecantikan Qu Puteh,
Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida.
Perkara itu didedahkan Dr Vida ketika dihubungi sebuah portal pada Sabtu.
Menurut Dr Vida, persetujuan mengenai syarat tersebut dimaklumkan
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi aplikasi WhatsApp pada pagi
Sabtu.
"Saya ada terima mesej daripada Presiden Kafa menerusi WhatApp awal
pagi tadi (Sabtu). Mesej itu menyatakan (Kafa) bersetuju dengan dua
syarat itu," katanya.
Difahamkan Annuar kini berada di Mekah untuk mengerjakan umrah.
Bagaimanapun, Dr Vida tidak mendedahkan secara terperinci mengenai perjanjian tajaan itu.
"I will go with the flow. Sekarang cuma tunggu surat (rasmi) persetujuan (terima tajaan) daripada Kafa," katanya.
Difahamkan Kafa akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu pada Ahad.
Ketika diminta mengulas mengenai kritikan penyokong The Red Warrior
mengenai syarat tersebut, Dr Vida bagaimanapun enggan cepat melatah.
"Saya sudah lali (dikritik)... dari dulu lagi dah kena macam ni. Saya tak terguris hati," katanya.
Namun, beliau berkata syarat yang ditetapkannya itu adalah bertujuan
untuk mengubah wajah pasukan Kelantan agar nampak lebih 'segar' dan
mencetuskan fenomena baru dalam industri sukan di negara ini.
"Sebenarnya walaupun saya perempuan tetapi saya sentiasa mengikuti
perkembangan skuad ini. Saya punyai cita-cita besar untuk menyemarakkan
bola sepak di Kelantan. Saya mahu lakukan perubahan dari peringkat akar
umbi," katanya.
Ditanya mengenai gambar stadium dan jersi skuad The Red Warrior
berwarna merah jambu yang menjadi viral di laman media sosial, Dr Vida
berkata warna tersebut sebenarnya menggambarkan keceriaan, lebih sportif
dan menjadi trend masa kini.
"Bila saya tengok gambar kerusi stadium dan jersi yang diviralkan
cantik pula. Tapi tak adalah sampai saya nak ubah bendera jadi warna
merah jambu," katanya.
Pada Jumaat, Dr Vida menetapkan dua syarat sebelum bersedia menjadi
pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2016.
Dua syarat tersebut melibatkan perubahan kepada warna Stadium Sultan
Muhammad IV kepada merah jambu, manakala nama The Red Warrior ditukar
menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
Namun, syarat yang ditetapkan tersebut mendapat kritikan dikalangan
penyokong pasukan itu yang menyifatkan ia sebagai tidak sesuai dengan
imej garang Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan