Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah pencemaran daripada kegiatan perlombongan bauksit bagi mengelakkan ia berulang selepas tempoh penggantungan sementara aktiviti itu berakhir.
Walaupun penduduk Kuantan menyambut baik keputusan kerajaan menghentikan sementara aktiviti perlombongan itu, mereka masih tertanya-tanya langkah susulan yang akan dilakukan kerajaan serta pihak berkuasa.
"Memang kita sambut baik dan boleh menarik nafas lega dengan keputusan menghentikan sementara aktiviti ini, namun selepas ini saya harap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya," kata seorang pekerja resort di antai Balok, Alambuaina Asga, 42, ketika ditemui Bernama semalam.
Menurutnya penduduk Kuantan selama ini cukup tertekan kerana terpaksa menghidu debu selain risaukan keselamatan berikutan kehadiran lori membawa muatan bauksit yang tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata adalah lebih baik kerajaan menghentikan terus aktiviti perlombongan itu kerana percaya akan wujud pihak yang terus ingkar dengan undang-undang walaupun kerajaan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu nanti.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengumumkan kerajaan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari depan.
Bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit juga, kerajaan telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan Zainab Salleh, 55, berkata keputusan kerajaan menghentikan aktiviti berkenaan sangat ditunggu-tunggu oleh penduduk.
Jelasnya biarpun berbentuk sementara ia boleh membantu penduduk setempat kembali menjalankan aktiviti harian dalam keadaan selamat tanpa debu dan lori bauksit yang 'menggila' di jalan raya.
"Tapi kalau boleh saya mahu kerajaan hentikan terus bauksit ini... ia lebih menggembirakan kami," katanya.
Bagi pembantu kedai Muhammad Faiz Rosli, 18, pula biarpun tempoh tiga bulan dilihat singkat untuk mencari penyelesaian, namun ia cukup untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani isu itu.
"Ia jelas menunjukkan kerajaan begitu prihatin dan mendengar masalah yang dialami penduduk sekitar daerah ini," katanya
Pengerusi Persatuan Nelayan Pahang Zulkiflee Md Yusof turut melahirkan rasa syukur perkembangan terbaru berkenaan, sekali gus mengurangkan kebimbangan nelayan yang terjejas dengan aktiviti itu.
"Syukurlah kalau kerajaan dapat hentikan walaupun sementara. Semasa kejadian laut merah baru-baru ini hampir 200 nelayan di sekitar Pantai Balok dan Pantai Beserah terjejas sehingga pendapatan kami berkurangan sehingga 30 peratus.
"Harap penyelesaian terbaik dapat dicari dan kita tidak mahu selepas tiga bulan nanti masalah yang sama akan kembali berulang," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan