GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang belum memutuskan untuk
mengharamkan vape di negeri ini berikutan perlu mengadakan perbincangan
lebih terperinci berhubung perkara itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau memerlukan tempoh
sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk membuat keputusan berkenaan isu
vape selepas mendengar fakta dan penerangan terperinci daripada pihak
Kementerian Kesihatan, pakar serta peniaga vape.
Lim ketika memberikan rumusan akhirnya pada penggulungan Sesi Dialog
Awam berkenaan isu vape bersama kerajaan negeri semalam berkata
keputusan yang bakal dibuat nanti adalah berdasarkan fakta serta
maklumat-maklumat kepakaran.
"Kami akan buat keputusan berdasarkan fakta, pada sesi ini kita lihat
pandangan yang saya rasa menonjol adalah daripada kementerian kesihatan
dan Pusat Racun Negara. Aspek kesihatan merupakan keutamaan semua pihak.
Pada masa ini kami masih menunggu nput daripada peniaga vape.
"Saya inginkan maklumat dan fakta daripada ramai pengusaha vape,
pandangan yang diberikan oleh pengusaha vape tadi tidak berapa
menyakinkan kerajaan negeri," katanya.
Justeru Lim meminta pengusaha-pengusaha vape tampil memberikan pandangan bersertakan fakta dan maklumat.
Dalam pada itu Lim berkata kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan
lesen baharu untuk menjual vape sementara menunggu keputusan yang akan
diumumkan kelak.
Bagaimanapun lesen yang telah dikeluarkan tidak akan ditarik balik, katanya.
Sementara itu Pengerusi Penguasaha Vape Pulau Pinang (PPVPP) Muhammad
Hafidz Adnan ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog itu berkata
beliau dan pengusaha vape lain akan memohon lesen perniagaan sementara
daripada kerajaan negeri untuk menjual vape.
Muhammad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan
Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin bagi mengemukakan pandangan mereka dan
memberikan penjelasan lanjut berhubung perakara itu.
"Sebagai pengusaha vape kami berharap kerajaan negeri dapat
mempertimbangkan pandangan dan pendapat kami sebelum keputusan diambil,"
katanya.
Terdahulu dalam sesi dialog itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP) N.V Subbarow menggesa kerajaan negeri mengharamkan
vape serta-merta kerana ia membahayakan kesihatan.
Subarrow berkata berdasarkan tinjauan CAP, terdapat pelajar sekolah turut menggunakan vape.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan