KUALA LUMPUR: "Kalau nak bergantung pada dokumen awam, kita semua tutup
kedailah, tak perlu ada siasatan," kata Datuk Liang Teck Meng.
Teck Meng yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
berkata demikian sebagai reaksinya terhadap kenyataan Ahli Parlimen
Petaling Jaya Utara, Tony Pua, hari ini.
Dalam kenyataan yang dilaporkan portal berita itu, Pua mempertahankan
dirinya dengan mengatakan kritikan secara terbukanya terhadap 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) tidak melanggar Peraturan Mesyuarat kerana
menggunakan maklumat yang sudah diketahui umum.
Bagaimanapun, Teck Meng berkata kenyataan itu disifatkannya sebagai
mengejutkan dan memalukan kerana ia seolah-olah membelakangkan proses
siasatan PAC yang dilakukan secara adil dan telus.
"Saya terkejut dengan kenyataan begini, dia buat 'statement'
berdasarkan dokumen umum. Saya rasa malu sebagai ahli PAC. Mana boleh
kita buat sesuatu keputusan berdasarkan dokumen umum, kalau begitu tak
perlu ada siasatan PAC, tak perlu Jabatan Audit Negara, tak perlu lagi
muktamadkan Laporan Audit Negara.
"Kita semua tutup kedailah, kita buat keputusan berdasarkan dokumen
umum saja. Kenyataan saya juga tidak menyebut mana-mana nama, siapa
makan cili dia terasa pedas," katanya ketika ditemui pemberita di sini,
hari ini.
Teck Meng berkata, kenyataan Facebook Tony Pua yang dikritiknya sebelum
ini bukan sekadar mengkritik 1MDB, tetapi beliau seolah-olah membuat
satu keputusan dengan menyebut "dalang menyebabkan kehilangan berbilion
ringgit duit pembayar cukai".
"Saya tertanya-tanya daripada mana beliau dapat maklumat umum berhubung
'kehilangan berbilion ringgit oleh dalang'. Adakah berdasarkan laporan
audit atau Sarawak Report dan beliau membuat keputusan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan