Bomba mengambil masa kira-kira satu jam mengeluarkan mayat mangsa.
SEREMBAN - Seorang lelaki rentung apabila kereta Toyota Altis yang dipandunya terbakar selepas terbabas melanggar tiang bangunan rumah kedai di Jalan Kapitan Tam Yeong di sini lewat malam tadi.
Bagaimanapun setakat jam 2 pagi tadi, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban , Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.28 dan sampai ke lokasi lima minit kemudian.
"Satu jentera dan Perkhidmatan Respon Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan 10 pegawai dan anggota dikerah ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.
"Sebaik sampai didapati api marak, keadaan kereta telah pun terbakar 80 peratus dan terdapat seorang mangsa," katanya.
Menurutnya, kira-kira satu jam operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk penumpang selepas api berjaya dipadam.
Mohammad berkata, badan mangsa keseluruhan didapati terbakar kira-kira 70 peratus, namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan