KUALA LUMPUR: Gabungan Pakatan Harapan (PH) hari ini melahirkan
kebimbangan terhadap kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
dimasa akan datang.
Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kebimbangan itu hadir kerana
terdapat beberapa isu mengenai perjanjian berkenaan yang masih kabur,
manakala rakyat juga masih belum memahami sepenuhnya isi kandungan
perjanjian berkenaan.
"Saya rasa kami menang di peringkat negara dalam mempertahankan hak
rakyat biasa. Banyak persoalan yang saya rasa perlu dijawab khususnya
sekiranya harga ubat naik apakah kesannya? Saya rasa itu ada sesuatu
yang harus dipertanggungjawabkan oleh pihak BN.
"Nampaknya mereka bersungguh-sungguh dan degil untuk teruskan TPPA tapi
akhirnya jika ia tidak memenuhi kepentingan rakyat, rakyat akan tahu
siapa yang bersalah," katanya di Lobi Parlimen.
Bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sikap
tergesa-gesa kerajaan dalam membawa isu TPPA ini ke Parlimen diragui
beliau.
Jelasnya biarpun lantang menolak TPPA di sidang khas berkenaan, perjanjian berkenaan tetap ditandatangani oleh kerajaan.
"Kita harap dalam dua tahun atau empat tahun yang diadakan ruang untuk rektivikasi kita akan teruskan (membantah).
"Sepatutnya revtivikasi itu diluluskan, ia cuma perkara yang kecil walaupun teknikal mesti berketepatan," katanya.
Sebelum usul tandatangan TPPA diluluskan, Ahli Parlimen Sepang
mengusulkan agar kerajaan meminda perkaraan rektivikasi supaya
perbahasan mengenai isu pelaksanaan TPPA boleh dibincangkan secara
lanjut.
Di pihak PAS, gesaan bekas menteri Kabinet Datuk Shafie Apdal untuk
kerajaan meneliti semula TPPA menunjukkan tidak semua ahli Parlimen
Barisan Nasional (BN) menerima isu berkenaan.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali,
kerajaan perlu mengadakan pungutan suara di peringkat umum sebelum isu
TPPA dibawa ke sidang khas Parlimen hari ini.
"Saya yakin tidak sedikit dikalangan mereka yang bersetuju dengan TPPA
termasuk Ahli Parlimen Semporna, yakni Naib Presiden Umno dalam ucapan
beliau menggambarkan ketidaksetujuan beliau dengan TPPA.
"Sebab itu saya mencadangkan supaya bukan hanya dibuat di Parlimen tapi
perlukan satu pungutan suara awam supaya kita serahkan kepada rakyat
untuk memberikan pandangan mereka," ujarnya.
Ahli Parlimen PAS Idris Ahmad juga melahirkan kebimbangan mengenai
kestabilan kedaulatan negara sekiranya TPPA ditandatangani kelak.
"Pada kita (PAS) konsisten untuk kita tentang mengenai TPPA pada kita
adalah soal kedaulatan negara kita yang dicabul melalui secara halus
melalui penjajahan ekonomi dan pada kita tidak ada pun nilai tambah yang
banyak daripada apa yang kerajaan bersetuju dengan TPPA ini.
Sidang khas Dewan Rakyat hari ini meluluskan TPPA untuk ditandatangani
bersama-sama 11 lagi negara termasuk Amerika Syarikat, Australia,
Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, dan
Vietnam.
Sebanyak 127 ahli Parlimen BN menerima undi berkenaan manakala 84 ahli Parlimen pembangkang menolak usul berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan