Abdul Rani Kulup Abdullah
GOMBAK - Raja report, Abdul Rani Kulup Abdullah akui mempertimbangkan keperluan membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron terhadap 'Sultan Melaka'.
Menurutnya, hasrat itu akan dibincang dengan wakil 'Sultan Melaka' tersebut.
"Insya-ALLAH saya akan berbincang dengan orang-orang 'Sultan Melaka' untuk membuat satu laporan polis terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron terhadap keceluparannya yang menghina.
"Kalau 'Sultan Melaka' tak nak report, tak apalah. Tapi pada saya, kena report," katanya pada sidang media selesai memberi keterangan kepada Polis Melaka Tengah di Balai Polis Gombak, di sini, hari ini.
Sebelum ini Idris Haron dilaporkan menyifatkan individu mengaku sebagai Sultan Melaka yang mengurniakan darjah kebesaran baru-baru ini sebagai tindakan orang kurang siuman.
Abdul Rani diminta memberi keterangan berhubung penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka yang diterimanya dari 'Sultan Melaka', bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah menjatuhkan hukum ke atas sesiapa tanpa pengesahan pihak berkuasa.
"Saya nak beritahu rakyat, jangan kelam kabut. Gambar itu saya muatnaik sendiri ke Facebook tapi apabila isu ini kecoh, yang naik nama, Ayahanda Rani Kulup, sedangkan ramai yang mendapat gelaran juga.
"Perkara ini pada saya senang sahaja. Jalankan siasatan yang adil. Jangan kita senang-senang menuduh orang tak siuman, gila. Kalau doktor sahkan dia gila, barulah sah. Sebelum disahkan doktor, jangan ada yang menghina. Saya tak setuju," katanya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu mengakui sudah lali menjadi mangsa 'troll' termasuk melibatkan isu penganugerahan darjah kebesaran itu.
"Memang orang kata raja repot ini asyik repot orang sahaja, satu hari nanti dia kena...ini saya kenalah.
Tapi ayah kena ini bersebab, untuk siasatan kes yang sangat berbelit-belit. Dari 2005 hingga 2015 dah sepuluh tahun, tak selesai-selesai lagi.
"Ayah dah lali di 'troll'. Sejak 2011 macam-macam ayah kena. Nak 'troll, troll' lah. Orang yang 'troll', kalau benda tak betul, jadi fitnah. Saya tak ada masalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan