HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Kepercayaan rakyat tetap kukuh terhadap Umno

Umno bendera


SHAH ALAM - Umno berdepan kemelut politik namun ia disifatkan masih berada pada tahap tidak membimbangkan kerana kepercayaan rakyat tetap kukuh terhadap parti itu.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, beliau percaya sebarang pergeseran atau pertelingkahan pendirian sesama pemimpin Umno akan dapat diselesaikan dengan mengambil kira kepentingan parti dan negara.

"Adalah satu pembohongan untuk mengatakan mana-mana parti politik tidak berdepan dengan masalah, tetapi cara bagaimana masalah itu diselesaikan perlu diberikan perhatian,” katanya melalui blog Umno Cheras.

Malah beliau yakin permasalahan dalaman yang berlaku dalam parti itu tidak akan menjejaskan persiapan Umno untuk berdepan dengan PRU14 akan datang.

“Mengapa media terutama laman sosial hanya memberi fokus kepada Umno yang didakwa berada dalam konflik sedangkan pembangkang lagi teruk? Berebut kerusi pilihan raya sesama sendiri.

“Ini membuktikan pihak tertentu mempunyai agenda untuk merosakkan perpaduan dalam Umno,” katanya.

Menurutnya, selagi rakyat menyokong Umno parti itu akan mampu melepasi kemelut dan halangan.

“Memang tidak dinafikan, kadangkala terbit rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pucuk pimpinan tetapi rasa tidak puas hati itu perlu dilihat apakah melebihi kepentingan parti?

“Turun naik atau jatuh bangun dalam perjuangan merupakan fitrah kehidupan, oleh itu setiap pemimpin parti perlu menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka dan berlapang dada,” katanya.

Malah beliau menyifatkan dakwaan sesetengah pihak kononnya Umno di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mampu menyelesaikan konflik yang berlaku merupakan tohmahan jahat bagi melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Pihak tertentu terutama pembangkang dan golongan anti-kerajaan sememangnya mahu meruntuhkan kestabilan politik serta ekonomi negara. Mereka menjadikan pentadbiran Najib sebagai sasaran.

“Ahli-ahli Umno yang telah memberi mandat kepada Najib dan barisan ahli Majlis Tertinggi maka merupakan  kewajipan kita mempertahankan kepercayaan tersebut dengan kekal teguh di belakang presiden parti,” katanya.


Tiada ulasan: