Melalui catatan terbaharu di blognya, Chedet.cc, Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Musa gara-gara menuding jari kepadanya sebagai punca kegagalan Wawasan 2020 itu yang kurang empat tahun dari sekarang untuk dicapai.
“Kepada Musa, terima kasih banyak kerana menuding jari. Mesti kamu sudah menjangkakan ini pada 1986 lagi sebelum Wawasan ini (diperkenalkan).
“Ini mungkin kamu sudah ramalkan yang menyebabkan kamu meletakkan jawatan daripada kerajaan yang saya pimpin. Jadi, tiada sesiapa boleh salahkan kamu. Khidmat kamu kepada saya dan negara akan tercatat dalam sejarah,” tulisnya dalam artikel yang bertajuk ‘Tun Musa’.
Sebelum ini, Musa meletakkan kesalahan pada Mahathir sekiranya Wawasan 2020 gagal dicapai susulan beliau tidak melatih pemimpin di semua peringkat untuk menjayakan wawasan itu.
Beliau juga mendakwa Mahathir memilih untuk membuang pemimpin yang berpotensi dan memilih untuk melatih penyokongnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Wawasan 2020 gagal sebab Tun M sendiri’]
Mengulas soal dakwaan Musa itu, Mahathir berkata beliau memilih semua pemimpin yang menentangnya sebagai menteri dalam Kabinetnya.
“Salah seorang daripadanya Tun Abdullah (Ahmad Badawi) yang kemudiannya saya namakan sebagai perdana menteri. Saya pilih yang tidak setia pada saya berbanding yang setia.
“Saya tidak melatih sesiapa untuk memastikan kejayaan Wawasan 2020. Saya percaya terhadap kepimpinan melalui teladan. Mungkin saya telah memberikan contoh yang tidak baik sebab semua pengganti saya gagal menjayakan Wawasan 2020. Sudah tentunya saya yang perlu disalahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri ke-4 Malaysia ini menyifatkan kegagalan pertamanya adalah Musa sendiri.
“Dia tidak boleh tunggu saya bersara jadi dia meletakkan jawatan selepas lima tahun menjadi timbalan saya dalam kerajaan yang pengikutnya panggil ‘MM Government’.
“Dia percaya Majlis Tertinggi Umno akan membuang saya dan memilihnya sebagai Presiden (Umno).
Majlis Tertinggi memutuskan untuk memujuk dia kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden. Dia pun kembali sebagai timbalan.
“Pada pemilihan parti, dia pujuk musuhnya, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden melawan saya. Dia bersedia untuk menjadi timbalan di bawah Tengku Razaleigh, bukan bawah saya,” katanya.
Tambahnya, Musa tetap berkomplot dengan Tengku Razaleigh meskipun beliau telah melantiknya sebagai duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan status menteri ketika itu.
Musa merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang berkhidmat pada tahun 1981 hingga 1986 di bawah pentadbiran Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan