shahbudindotcom
Tidak cukup dengan usaha yang nampaknya kembali rancak mahu menggantung jawatan atau keahlian Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin, terdapat juga antara pemimpin atasan parti yang mendesak beliau berundur daripada jawatannya.
Antara
hujah mereka, jika ingin terus mengkritik Najib Razak selaku Presiden
UMNO, Muhyiddin harus berundur kerana ia merosakkan parti dan memberi
imej tidak baik kepada orangramai memandangkan peranan orang nombor dua
ialah membantu orang nombor satu.
Sebagai pemimpin yang dipilih oleh perwakilan, perlukah Muhyiddin didesak untuk berundur atau secara sukarela mengundurkan diri?
Kalau perwakilan yang memilih, bukankah hanya perwakilan juga yang boleh menggugurkannya?
Lebih
tidak masuk akal bilamana yang membuat desakan itu antaranya ialah
mereka yang mempunyai latar belakang undang-undang seperti Nazri Aziz
dan Azalina Othman Said.
Apakah mereka tidak faham undang-undang atau sengaja tidak mahu memahaminya?
Bagi
Muhyiddin pula, apakah semata-mata kerana mengkritik Perdana Menteri,
beliau mesti meletak jawatannya, tambahan lagi teguran yang dibuatnya
bukanlah sesuatu yang palsu dan direka-reka?
Terdapatkah
klausa dalam Perlembagaan yang mengatakan bahawa Timbalan Presiden
tidak boleh mengkritik Presiden dan jika ingin menegur juga, maka
haruslah berundur terlebih dahulu?
Adakah membantu Presiden hanya dalam bentuk puji-pujian, bodek dan kipas saja?
Tidakkah menyatakan kebenaran juga merupakan suatu bentuk bantuan, malah lebih ikhlas berbanding bodek, kipas dan puji-pujian?
Kemudian
mereka yang sama juga mencabar Muhyiddin agar melawan Najib bagi
jawatan Presiden UMNO jika tidak boleh lagi menerima kepimpinan Perdana
Menteri.
Bagaimana Najib mahu dicabar kedudukannya jika tarikh pemilihan sudah dilewatkan sehingga ke tahun 2018?
Kalau
benar-benar ingin melihat Muhyiddin bertanding jawatan Presiden UMNO
melawan Najib, bukankah mereka seharusnya membuat desakan secara
beramai-ramai agar pemilihan parti dipercepatkan tarikhnya?
Tetapi,
memandangkan pemilihan UMNO sudah dilewatkan tarikhnya kepada 2018 dan
tiada pula usaha mahu mempercepatkannya, adakah sepanjang tempoh itu
Muhyiddin harus berdiam diri saja jika satu demi satu "kemungkaran"
berlaku di depan mata?
Sama
ada mahu melihat Muhyiddin terus bising atau didiamkan, ia akhirnya
terletak pada keberanian Najib dan ahli- ahli MT UMNO untuk
memutuskannya.
Kiranya mempercepatkan tarikh pemilihan pun tidak berani, janganlah marah jika Muhyiddin terus bising di sana sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan