Naib Presiden UMNO dari Sabah itu meluahkan
kebimbangan dengan situasi kurangnya keyakinan rakyat terhadap parti
terbesar Melayu dan kerajaan.
PETALING JAYA: Kritikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pucuk pimpinan adalah semata-mata untuk mengukuhkan parti dan kerajaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata teguran Timbalan Presiden UMNO itu bukan bertujuan melemahkan pucuk pimpinan parti, apatah lagi untuk menjatuhkan parti dan kerajaan.
“Parti dan kerajaan jauh lebih penting daripada pemimpin dan individu tertentu. Ya, saya sayangkan parti, tetapi saya sayangkan negara lebih dari segalanya.
“Kedaulatan dan kemakmuran negara adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu atau pun pemimpin tertentu,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, beliau kesal dengan sindrom penafian yang wujud dalam kalangan pemimpin UMNO.
“Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa jika seseorang ahli parti menegur dan mengkritik pemimpin akan dianggap tidak setia kepada parti.
“Malah ada juga individu yang terus melabel mereka ini sebagai pengkhianat kepada parti dan ada juga yang mengatakan mereka ini seolah-olah sebagai anjing yang menggigit kaki,” katanya.
Mohd Shafie berkata, pemimpin yang baik untuk parti dan kerajaan harus berani menyuarakan perkara yang boleh menguatkan parti dan kerajaan walaupun kemungkinan akan hilang jawatan dan kedudukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan