Cheow
Chuan menunjukkan cara dia berpaut pada penutup kotak menyimpan hasil
ikan sewaktu berada di dalam laut selama 11 jam bersama dua rakan
nelayan lain semalam.
TANJUNG PIANDANG - Gara-gara terjatuh ke dalam laut, tiga nelayan terpaksa berpaut pada penutup kotak simpanan ikan yang terapung di atas laut selama 11 jam untuk menyelamatkan nyawa masing-masing dalam kejadian di perairan Kuala Bagan Tiang, di sini pagi semalam.
Mangsa kejadian, Khor Cheow Chuan, 37, dari Bagan Utara, di sini berkata, dia bersama dua lagi rakan iaitu Tan Teng Lion, 40, dan Tan Zhi Pei,19, turun ke laut dari Jeti Tanjung Piandang untuk menangkap ikan kembung pada jam 8 malam, Sabtu lalu.
Menurutnya, tidak sampai tiga batu nautika perjalanan, enjin sangkut pada bot kecil jenis fiber dinaiki mereka mengalami masalah secara tiba-tiba lalu hilang kawalan dan menyebabkannya bersama dua lagi rakan nelayan terjatuh ke dalam laut.
"Apabila bot itu terpusing, kami tercampak masuk ke dalam laut bersama penutup sebuah kotak menyimpan hasil ikan yang dibawa bersama.
"Anehnya, bot terpusing itu tidak terbalik, tetapi terus berjalan dengan sendiri tanpa kemudi ke lokasi tidak diketahui," katanya kepada media di sini, hari ini.
Cheow Chuan berkata, sebaik mereka kehilangan bot itu, mereka bertiga terpaksa berpaut pada penutup kotak penyimpan hasil ikan yang terapung di tengah laut untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, dia cuba mengeluarkan telefon bimbit disimpan di kocek seluar untuk mendapatkan bantuan, namun peralatan elektrik itu tidak berfungsi.
"Kami bertiga terpaksa berpaut pada penutup kotak itu dalam keadaan kesejukan dan bergelap selama 11 jam.
"Kebetulan, salah seorang daripada kami ada memakai lampu suluh di kepala dan cuba memberi isyarat lampu kepada beberapa bot yang lalu di lokasi kami tercampak.
"Namun, keadaan di tengah laut ketika itu amat gelap dan cahaya lampu suluh hanya mampu bertahan selama sejam sahaja menyebabkan kehilangan kami tidak disedari sesiapa," katanya.
Cheow Chuan berkata, lebih kurang jam 7.30 pagi semalam, akhirnya kelibatnya dan dua lagi rakan nelayan ditemui oleh nelayan tempatan yang menjalankan operasi pencarian.
Menurutnya, sebaik dinaikkan ke atas bot, mereka bertiga berasa amat letih dan hampir pengsan akibat kesejukan kerana berendam di dalam air laut terlalu lama.
"Mujur rakan-rakan nelayan lain sempat menemui kami semula dengan segera. Jika tidak, kami pastinya tidak mampu bertahan dan tenggelam ke dalam lautan kerana kepenatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan