Azmi
menenangkan anaknya yang tiba-tiba bertindak agresif ketika Dr Azmi
(kanan) dan Muhammad (tiga kanan) membantu ibunya melakukan senaman
ringkas.
KOTA BHARU - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah kasih sayang dan pengorbanan seorang suami, Azmi Jusoh, terhadap isterinya, Rozaimi Mat Rosli, 30, yang menderita akibat sakit saraf sejak penghujung tahun lalu.
Pilu hati seorang suami apabila melihat isteri tercinta yang sebelum ini sama-sama gigih mencari rezeki demi membesarkan dua anak mereka kini terlantar, makan bersuap dan tidak selincah seperti dahulu.
Biarpun riak wajahnya nampak gembira menyambut kedatangan, Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian,
Datuk Muhammad Abdul Ghani, dan Pensyarah Kanan Terapi Carakerja, Dr Mohd Zulkifli Abd Rahim dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia bersama rombongan namun di sebaliknya dia menggalas tanggungjawab yang besar.
Berkongsi kisah hidupnya, Azmi, 43, yang tinggal di Kampung Uda, Kubang Kerian itu memberitahu, isterinya diserang penyakit saraf bermula Disember tahun lalu selepas sering muntah dan pening serta kerap kali kejang otot, kemudiannya disahkan terdapat jangkitan kuman pada otak.
“Dulu dia yang uruskan keluarga, saya dan anak-anak, dia jual pisang goreng dan air di tepi jalan utama. Saya pula bekerja di kedai makan. Tapi sekarang kedua-dua punca rezeki kami sekeluarga sudah betul-betul hilang,” luahnya.
Azmi berkata, demi menjaga isterinya dengan sepenuh kasih sayang, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di kedai makan walaupun sedar keluarganya dihimpit kesusahan.
“Kami tidak sendirian. Nasib kami kini mendapat simpati penduduk kampung dan kadangkala adik-beradik yang bantu, nak guna teksi ke hospital pun tidak mampu harapkan bantuan keluarga, tetapi sampai bila kami perlu begini.
“Sekarang dia tidak boleh bergerak macam biasa, kalau boleh merangkak saya tidak akan berhenti kerja dah, tapi saya kena jaga dia sepenuh masa, makan kena suap, ubat pula dipaksa makan setiap hari,” katanya yang bersyukur atas keprihatinan pihak terhadap keluarganya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan