KUALA LUMPUR: Seramai 15 individu disiasat kerana membocorkan rahsia
rasmi kerajaan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sejak
2010 hingga tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, empat individu telah dituduh di mahkamah.
"Dua individu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak dan kes
masih dalam perbicaraan manakala dua lagi individu dituduh di Mahkamah
Sesyen Seremban, Negeri Sembilan namun dilepas dan dibebas pada 16 April
tahun lalu.
"Rayuan telah difailkan oleh pihak pendakwa atas keputusan tersebut dan
perbicaraan rayuan ditetapkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 25 Mac
dan 7 April tahun ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan
Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu
jumlah individu yang disiasat dan didakwa kerana membocorkan rahsia
rasmi kerajaan sejak OSA 1972 diluluskan di Parlimen.
Azalina berkata walaupun pada masa ini dilihat banyak insiden
pembocoran rahsia kerajaan, namun teknologi maklumat menjadi satu
cabaran besar susulan akta yang diguna pakai pada masa sekarang tidak
merangkumi kebocoran maklumat melalui teknologi maklumat.
Katanya Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) mempunyai
cabaran berat dalam mengumpul maklumat jika maklumat atau rahsia
kerajaan dibocorkan melalui aplikasi teknologi.
"Jika ada kes ambil gambar maklumat melalui aplikasi WhatsApp dan
menyebarkannya, individu itu boleh katakan telefonnya dipakai oleh orang
lain, begitu juga jika maklumat dipadam, kita perlu minta bantuan SKMM
(Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk dapatkan semula
maklumat itu, ini cabaran-cabaran yang perlu kita depani," katanya.
Justeru, katanya perlu ada pindaan dan perubahan dalam akta sedia ada
supaya perlindungan maklumat dan rahsia kerajaan diletakkan di tempat
lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan