HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 April 2016

PAS gesa kerajaan sambung kontrak Zeti

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menggesa kerajaan menyambung kontrak perkhidmatan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara (BNM), sekiranya pengganti bagi jawatan itu masih belum dikenal pasti.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu secara tidak langsung memberi peluang kepada Zeti yang mahu melihat isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan sebelum persaraannya, penghujung bulan ini.
 
"Bulan April sudah hampir penghujungnya, nampaknya hasrat Tan Sri Zeti untuk mengambil 'tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai' terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang sejumlah USD$1.83 bilion yang berada di luar negara semakin malap atau tiada sebarang bunyi kedengaran daripada Peguam Negara," kata Tuan Ibrahim menerusi status di laman Facebook beliau.
 
Tambah Tuan Ibrahim, sekiranya gabenor itu berundur pada masanya, pengganti beliau mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah 1MDB.
 
Justeru katanya, calon pengganti Zeti perlu di kalangan yang berwibawa dan bebas dari pengaruh politik. 
 
"Oleh itu, pengganti beliau mestilah dari kalangan-kalangan yang berwibawa, bebas dari pengaruh politik, berani, tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti.
 
"PAS menegaskan mereka yang pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon gabenor BNM yang baru.
 
"BNM adalah satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik," ujar beliau. 
 
Zeti dijangka bersara pada akhir bulan ini, selepas 16 tahun menerajui Bank Negara. 
 
 

Tiada ulasan: