Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) daripada
pembangkang mempersoalkan kewajaran penyuntingan laporan akhir berkaitan
1Malaysia Development Berhad (1MDB), meskipun sudah diberi jaminan
daripada Pengerusinya, Datuk Hasan Ariffin.
Menurut Naib Presiden PAC Tan Seng Giaw, sekiranya ada perubahan yang
mahu dilakukan terhadap laporan tersebut ia hendaklah merujuk pendapat
ahli-ahli yang lain.
"Yang pentingnya apabila sudah ada persetujuan konsensus di dalam
mesyuarat, maka sebarang perubahan mestilah dirujuk di dalam setiap
orang yang hadir, untuk bertanyakan jika mahu tukar perkataan apa
pendapat (ahli-ahli yang lain). Bukan tukar begitu sahaja," katanya
kepada Antarapos, hari ini.
Semalam Hasan menyatakan penyuntingan beberapa ayat dalam laporan akhir
PAC berkaitan 1MDB tidak akan menjejaskan keseluruhan laporan itu.
Katanya, ayat-ayat berkenaan dikeluarkan kerana ia berstatus belum jelas atau dalam risikan serta bukan untuk pengetahuan awam.
Hasan juga menegaskan tindakan untuk menyunting itu telah dimaklumkan
ketika pembentangan laporan kepada semua anggota PAC, 7 April lalu.
Seng Giaw yang juga merupakan Ahli Parlimen Kepong, ketika mengulas
lanjut mempertahankan tindakan pembangkang yang tidak berpuas hati
dengan tindakan suntingan beberapa ayat itu.
"Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk tukar selepas ada perbincangan.
"Jika betul nak buat kita kena bincang dahulu," katanya lagi.
Selasa lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa
beberapa ayat dalam laporan akhir 1MDB telah dikeluarkan, antaranya
mengenai perbincangan antara pegawai Jabatan Audit Negara dan ahli PAC.
Ayat seterusnya yang dikeluarkan ialah mengenai perbincangan anggota
PAC dan pegawai kerajaan yang terbabit dalam menyediakan laporan 1MDB
tersebut, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Pua yang juga ahli PAC berkata maklumat dalam kedua-dua ayat itu telah
dipersetujui ahli PAC daripada BN dan pembangkang untuk dimasukkan dalam
laporan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan