HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 April 2016

Pakar kaunseling bimbang aplikasi 'MySolve' galakkan pasangan bercerai

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengenalan aplikasi permohonan cerai secara dalam talian seperti yang diperkenalkan kerajaan negeri Perak, dikhuatiri akan 'menggalakkan' penceraian di kalangan pasangan suami isteri, kata seorang pakar kaunseling keluarga.
 
Menurut Prof Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), aplikasi tersebut dibimbangi menjadi pemudah cara bagi suami isteri yang ingin berpisah kerana pasangan itu tidak perlu berhadapan dan hanya menyelesaikan urusan secara dalam talian.
   
"Perkara ini memudahkan (penceraian). Kita ni mahu menggalakkan atau mahu mengelakkan?," katanya membangkitkan persoalan berhubung langkah kerajaan Perak itu. 
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri itu yang memperkenalkan aplikasi permohonan cerai secara dalam talian yang dikenali sebagai 'MySolve'.
 
Pengenalan tersebut menjadikan Perak sebagai negeri pertama yang memperkenalkan aplikasi sedemikian. 
 
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata aplikasi itu bukan untuk menggalakkan pasangan suami isteri becerai, namun sebagai pemudah cara bagi mereka menyelesaikan masalah rumah tangga yang berbangkit.
 
Mariani dalam pada itu tidak menolak bahawa aplikasi berkenaan diwujudkan bagi memudahkan dan melicinkan urusan tanpa perlu bersesak di kaunter mahkamah.
 
Namun katanya, secara tidak langsung ia juga boleh memusnahkan peluang untuk pasangan yang hampir bercerai ini menyelamatkan perkahwinan mereka. 
 
Ini kerana kata Mariani, sekiranya mengikut prosedur biasa yang memerlukan kehadiran pasangan ke mahkamah, kedua-dua suami isteri perlu berkomunikasi dan pada ketika itu berkemungkinan ada harapan untuk mereka menyelamatkan perkahwinan.  
 
"Ada pasangan yang tertentu disebabkan komunikasi yang berlangsung itu walaupun sebelum ini mungkin tidak berkomunikasi sangat, tapi bila nak berlaku proses (bercerai) itu, mereka kena komunikasi, dan ini kadang-kadang terjadinya rujuk semula," katanya.
 
Justeru katanya, kajian yang mendalam dengan mengambilkira beberapa aspek termasuk pandangan pelbagai pihak, adalah penting sebelum melaksanakan sesuatu pembaharuan.
 
"Sepatutnya perkara ini dikaji dahulu, diselidik dahulu, dibuat survey sama ada ia mendatangkan kebaikan atau menambahkan keburukan yang kita tidak mahu berlaku di Malaysia. Nanti dibimbangi banyak lagi berlaku gejala sosial negatif," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: