PETALING JAYA: Indeks pencemaran udara (IPU) mencecah ke paras tidak
sihat di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, tetapi ia
bukan disebabkan oleh titik panas di Indonesia.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahawa keadaan berjerebu sejak
Rabu adalah disebabkan oleh sumber-sumber pencemaran tempatan bersama
dengan penurunan kadar kelembapan sehingga 60 peratus.
"Peningkatan bacaan IPU adalah kerana pembakaran terbuka, asap
kenderaan dan cuaca lebih kering kerana kesan El Nino," kata seorang
jurucakap Jabatan Alam Sekitar.
Tahun lepas, berlaku jerebu merentasi sempadan berikutan amalan tebang
dan bakar untuk membersihkan tanah perladangan kelapa sawit di Indonesia
yang telah menyebabkan Malaysia diselaputi jerebu tebal.
Kualiti udara mencapai tahap tidak sihat dan menyebabkan banyak sekolah ditutup di beberapa negeri.
Semalam, bacaan IPU di Shah Alam dan Banting masing-masing meningkat
kepada 151 dan 101 pada jam 3 petang sebelum menurun ke tahap sederhana
(bawah 100) sejam kemudian.
Bacaan IPU di Batu Muda, Kuala Lumpur mencapai 111 pada pukul 5 petang dan 121 di Nilai dalam tempoh yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan