Perpaduan dan permuafakatan antara orang Melayu perlu dibentuk dalam apa jua langkah termasuk politik demi menjaga kedaulatan Islam, kata Yang Dipertua Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sharipuddin Ab Kadir.
Beliau berkata, mereka yang tidak suka pemuafakatan adalah mereka tidak suka melihat Melayu Islam bersatu di Malaysia.
“Sepatutnya bukan setakat Umno dan PAS sahaja tetapi pemuafakatan ini sepatutnya melibatkan seluruh parti Melayu dan Bumiputera di Malaysia.
“Musuh Islam dalam dan luar negara memang tidak suka melihat Melayu bersatu dan bersepakat terutamanya dalam perkara yang menjadi kepentingan utama agama bangsa dan negara,” katanya seperti dilapor portal Ismaweb.net.
Beliau berkata demikian mengulas pandangan pendakwah Islam antarabangsa, Dr Zakir Naik agar dibentuk kerajaan campuran antara Umno-PAS.
Dr Zakir berpendapat kerajaan campuran Umno dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.
“Saya bukan hendak memberitahu Umno dan PAS perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah…(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.
“Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam,” katanya dalam satu rancangan terbitan TV Al-Hijrah malam tadi.
Mengulas lanjut Sharipuddin berkata, beliau menyambut baik cadangan Dr Zakir Naik demi kebaikan umat Islam di Malaysia sambil menyatakan Isma telah lama mempromosikan perpaduan Melayu melalui slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.
“Cadangan yang baik dari mana-mana sumber tidak salah untuk kita menerimanya. Lebih-lebih lagi cadangan untuk kebaikan umat Islam di Malaysia terutamanya bangsa Melayu.
“Dia sedikit pun tidak mencampuri urusan politik negara Malaysia. Rakyat diberi kebebasan untuk berfikir dan membuat keputusan mana yang terbaik untuk mereka.
“Lagi pun negara kita pernah bantu Selatan Thailand dan Selatan Philipina dalam kemelut politik mereka. Alhamdulillah berjaya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan