HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 April 2016

'MCA bantu gubal perlembagaan didakwa serlahkan rasisme'

MALAYSIAKINI




Pakar perlembagaan, Abdul Aziz Bari mengingatkan MCA bahawa parti itu juga bertanggungjawab sebahagiannya terhadap penggubalan perlembagaan persekutuan hari ini yang didakwa parti itu menyerlahkan isu rasisme.

"Jangan lupa MCA turut mengambil bahagian - bersama-sama dengan Umno - dalam penggubalan perlembagaan tidak seperti DAP, PKR atau AMANAH yang semuanya perlu bekerja dalam rangka kerja yang ditetapkan, memandangkan landskap politik sekarang, tidak boleh dipinda.

"Sepanjang beberapa tahun lalu, perlembagaan telah dipinda dan apa yang kita ada sekarang mungkin tidak mewakili draf asal, sesuatu yang sekali lagi MCA perlu berkongsi bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz mengulas kenyataan ketua biro keharmonian agama, MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang mendakwa peruntukan mengenai bangsa dan agama dalam Perlembagaan Persekutuan menyerlahkan isu perkauman di negara ini dan diburukkan lagi oleh institusi dan pentadbiran yang dicemari dengan sentimen perkauman dan agama.

Abdul Aziz berkata terdapat terlalu banyak contoh bagaimana Umno meletakkan dasar dan keutamaan mereka mengatasi perlembagaan seperti Dasar Ekonomi Baru dan dasar kuota tiga puluh peratus yang tidak pernah disebut dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 berkenaan kedudukan istimewa masyarakat bumiputera di negara ini.

"Kita telah lihat bagaimana pengkritik disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mempersoalkan dasar Umno itu.

"Jika kita teliti Perlembagaan, ia memang sangat adil, dan ini adalah jelas bila kita melihat kepentingan yang sah.

"Oleh itu, MCA sepatutnya membidas Umno dan bukannya Perlembagaan," katanya.

Tiada ulasan: