HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 April 2016

Polis rampas telefon, komputer aktivis anti-Najib

Anne Muhammad

 


Aktivis Azrul Mohd Khalib, yang membuat petisyen atas talian menyokong Deklarasi Rakyat dan mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak, hari ini dipanggil memberi kenyataan bawah akta hasutan.

Peguamnya Melissa Sasidaran (gambar) berkata Azrul disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan berkaitan di laman web Change.org.

“Dia (Azrul) ditanya beberapa soalan mengenai petisyen itu dan akhirnya telefon bimbit dan komputer riba miliknya dirampas,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat Polis Petaling Jaya.

Mac lalu Azrul telah membuat petisyen itu dengan tajuk “Rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya berundur” bagi mendapatkan 100,000 tandatangan.

Kata Azrul, bagi petisyen mendesak Najib melepaskan jawatannya beliau berjaya mengumpul sebanyak 51,000 tandatangan.

Manakala bagi petisyen Deklarasi Rakyat pula sebanyak 250,000 tandatangan berjaya dikumpul.

“Dari segi sistem demokrasi yang kita ada, rakyat nak (juga) menyatakan apa yang mereka rasa.

Saya rasa rakyat perlu bercakap,” katanya.

Sementara itu, seorang penulis blog, Joe Haidi Sulaiman turut dipanggil hari ini kerana artikel bertajuk “Muhyiddin – bekas AG simpan banyak bukti kesalahan Najib... sebarkan”

Peguam Joe, Raul Lee Bhaskaran berkata, anak guamnya disiasat bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas tuduhan fitnah jenayah.

Hadir sama di IPD Petaling Jaya itu bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengarah Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel dan aktivis BERSIH Mandeep Singh.


Tiada ulasan: