Oleh Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: Sikap agresif daripada pemandu teksi yang menyerang pemandu
Uber dan Grabcar disifatkan sebagai strategi mereka dalam mendapatkan
perhatian yang serius daripada kerajaan, dakwa Dekan Fakulti Perniagaan
Unimas, Prof Dr Shazali bin Abu Mansor.
Katanya, sebelum ini pelbagai persatuan teksi telah mengadakan
perjumpaan dengan pihak berwajib untuk menyelesaikan kemelut yang
melanda pemandu teksi namun suara mereka itu diendahkan.
"Mengawal sistem adalah kerajaan samada kerajaan hendak menghalalkan
atau tidak jika kerajaan tidak mahu membiarkan perkara ini berlaku
kerajaan boleh menghalang aplikasi itu melalui Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia.
"Jadi kerajaan masih biarkan dan tidak menghalangnya dan sebab itu
pemandu teksi tiada cara lain dengan menyerang pemandu Uber berikutan
periuk nasi mereka telah terjejas," katanya ketika dihubungi Antarapos
di sini hari ini.
Menurut Shazali, pemandu teksi perlu melalui proses tertentu sebelum
memandu teksi seperti membayar permit, tetapi apabila kerajaan
mengabaikan mereka membuatkan kumpulan ini kecewa dan bertindak di luar
kawalan akibat tekanan hidup.
Dalam pada itu, Shazali berpendapat adalah tidak menjadi masalah kepada
pemandu teksi jika mereka dapat bersaing secara adil dengan aplikasi
Uber dan Grabcar.
"Bila kita bayar permit semua kita menjangkakan kerajaan akan lindungi
kita tapi apa yang kita dapat daripada permit itu? Jadi dari situ
pemandu teksi mengharapkan sesuatu dari keajaan untuk campur tangan.
"Jika ada persaingan biar adil, teksi perlu bayar permit dan perlu
melalui proses tertentu tidak seperti uber, ini yang menjadi punca
(masalah) dan jika semuanya sama saya melihat perkara itu tidak ada
masalah kepada pemandu teksi (untuk bersaing)," ujarnya.
Tindakan pemandu teksi yang bertindak lebih agresif menyerang pemandu Uber dan Grabcar menjadi viral di media sosial.
Mereka menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan undang-undang terhadap
mereka yang disifatkan sebagai kereta sapu haram.
Terbaru, SPAD mengumumkan perkhidmatan teksi bakal menjalani
transformasi, termasuk pengenalan sistem tunggal baharu menerusi online
dan aplikasi telefon mudah alih yang lebih bersepadu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata ia
bagi membolehkan perkhidmatan teksi negara ditambah baik selain
meningkatkan imej perkhidmatan berkenaan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, Kementerian Pengangkutan dan SPAD giat memperincikan sistem
baharu serta butiran transformasi berkenaan sebelum diumumkan.
Sebelum ini, Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam
memberi jaminan bahawa pemandu teksi mampu mengubah sikap seperti mana
kehendak pengguna yang membandingkan mereka dengan pemandu Uber dan
Grabcar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan